Malaysia Dateline

Kerana takut ke Parlimen, PKP boleh diisytiharkan tidak sah

Sepanjang perjuangan rakyat dan negara melawan penularan pandemik wabak Covid-19, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 sehinggakan Parlimen yang sepatutnya bersidang pada 18 Mei 2020 hanya dijalankan ringkas dengan Titah Di Raja sahaja.

Malah alasan kerajaan meringkaskan persidangan adalah kerana PKP, sedangkan PH bertegas ia boleh dipanjangkan dengan pematuhan SOP memandangkan banyak isu berkaitan negara dan ekonomi rakyat yang perlu dibahaskan.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Menurut beliau lagi, PKP yang dilaksanakan disokong penuh, namun begitu isu berbangkit adalah implikasi undang-undang dan ekonomi akibat tidak dibawa ke sidang Parlimen.

“Pada 11 Jun saya telah mengeluarkan kenyataan supaya Pakej Rangsangan Ekonomi dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan atas sebab ia merupakan keperluan undang-undang.

” Begitu juga pelbagai perintah yang hanya dibuat oleh Menteri tidak dibuat di Parlimen telah mengundang pelbagai reaksi dan implikasi undang-undang, sedangkan menjunjung keluhuran undang-undang adalah sangat penting dalam tatakelola yang baik sesebuah negara dan perkara inilah yang diabaikan PN yang begitu takut untuk ke Parlimen.

“Antaranya ialah Perintah (Pengecualian) Syarikat 2020 melanjutkan tempoh bayaran hutang selama enam bulan yang dengan sendirinya menghalang apa-apa tindakan saman terhadap penghutang,” tegas beliau yang juga merupakan pengamal undang-undang.

Tambah Faiz lagi, satu kes telah dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mencabar keabsahan perintahan ini sepertimana yang dilaporkan oleh Akhbar The Star pada 29 Jun 2020 yang lalu.

Kata beliau, implikasi perintah ini boleh dianggap bercanggah dengan Seksyen 466(1)(a)Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan satu anggapan undang-undang bahawa mana-mana syarikat tidak membayar hutang dalam tempoh 21 hari dari tarikh tuntutan boleh digulungkan kerana dianggap insolven.

Ujar beliau lagi, oleh kerana peruntukan ini dibuat dalam Akta di Parlimen, maka hanya Parlimen yang boleh meminda atau mengubahnya dan bukan hanya melalui pewartaan Perintah Menteri.

Faiz juga berkata, ini merupakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kemungkinan PKP ini tidak sah kerana tidak berperlembagaan.

Tegasnya, corak pentadbiran PN yang mengabaikan keperluan undang-undang ini boleh menyebabkan banyak syarikat menghadapi kekangan mendapatkan semula hutang mereka bagi meneruskan perniagaan yang penting dalam menjamin peluang pekerjaan para pekerja tidak terjejas serta ketidakpatuhan undang-undang ini memberikan kesan kepada pengukuhan ekonomi negara.