Malaysia Dateline

Kerana tidak boleh ke sana ke sini, rakyat tunjuk bakat tanam sayur

Tiada siapa menduga kehidupan manusia hari ini berubah 360 darjah dek kerana wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan Malaysia tidak terlepas daripada dugaan ini.

Jika dahulu, kita bebas ke mana-mana hampir segenap pelusuk ada sahaja aktiviti, kini pergerakan kita sudah terbatas tidak boleh sewenang-wenangnya bergerak ke mana sahaja.

Tidak boleh ke sana ke sini, ke sana ke sini kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas penularan wabak jahat ini, rakyat negara ini diarahkan duduk di rumah bagi menjaga penjarakan sosial supaya wabak ini berjaya dikekang.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan memasuki fasa kelima sudah tentu membuatkan rakyat negara ini menjadi bosan jika hanya duduk memeluk tubuh sahaja di rumah.

Rakyat negara ini pastinya tidak bisa duduk diam sahaja di rumah mesti ada pelbagai aktiviti yang dapat diisi ketika musim PKP. Misalnya mereka yang tidak pernah terlintas untuk memegang cangkul tetapi di musin PKP ini mula menunjukkan kebolehan berkebun di atas tanah walaupun sekangkang kera.

Inilah aktiviti yang mula digemari oleh isi rumah di saat kena ‘lockdown’ oleh kerajaan. Rumah teres dengan tanah yang terhad pun boleh menanam, dan rumah pangsa pun ada kaedahnya sendiri untuk menanam. Hendak seribu daya tak nak seribu dalih.

Sejak kerajaan mengenakan PKP pada fasa pertama ramai yang sudah mula menjalankan aktiviti berkebun dan kebanyakkan mereka menanam tanaman yang cepat ditunai misalnya sawi, bayam Brazil, kangkung, dan kailan.

Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Mia Mie tidak menduga boleh terjebak projek tanaman sawi sejak PKP fasa pertama mula dilaksanakan, kini genap sebulan beliau sudah boleh menuai hasilnya.

Tapak semaian untuk tanaman sawi dibuat Mia Mie di halaman rumah sebaik PKP fasa pertama dilaksanakan.

“Awal PKP lalu, saya ada post tentang batas sayur yg saya usahakan. Dan inilah hasilnya. Alhamdulillah, sikit hari lagi dah boleh tuai,” tulisnya di Facebook.

Beliau turut berkongsi cara tanaman serta jenis baja yang digunakan untuk tanaman sawinya sehingga subur menghijau mendapat pujian para netizen.

“Semoga apa yg saya kongsikan ini, sedikit sebanyak dpt membantu kawan2 yg ingin mula berkebun,” tulisnya lagi.

Bagi mereka yang tinggal di rumah pangsa pun ada cara tersendiri menanam sayur-sayuran. Kebanyakkan penghuni rumah pangsa menanam di dalam ‘polybag’ atau pasu kerana tempat yang terhad.

Malah ramai yang menjadikan beranda rumah sebagai sudut tanaman sama ada bunga bungaan atau sayuran.

Milsanya, seorang penghuni rumah pangsa di Kajang memilih menanam sayuran yang cepat dituai serta tidak memerlukan penjagaan rapi iaitu sayur bayam Brazil. Tanaman ini mudah dijaga dan yang penting berkhasiat. Tanaman lain seperti daun kunyit, serai, kucai, dan pandan selalunya akan ada di setiap rumah.

Bayam Brazil yang menjadi kegemaran hari ini, senang ditanam dan senang hidup.

Bukan itu sahaja, ketika musim PKP ini juga ramai kaum ibu turut menunjukkan bakat menanam tauge di rumah dan masing-masing berkongsi di facebook cara bagaimana menyamai biji kacang hijau.

Tanaman ini juga lagi senang dan tidak memerlukan tanah hanya semai biji kacang hijau dan diletakan di dalam keadaan gelap, dan hanya dua tiga hari sahaja sudah boleh dituai.

Sebenarnya teknik menanam tauge di rumah sudah lama diketahui oleh suri rumah, malangnya ia tidak dipraktikan tetapi kini semasa PKP kaedah ini mula dipraktikan oleh mereka.

Seorang cikgu, Siti Nordiana turut berkongsi hasil tanaman tauge kepada ahli kumpulan ‘WhatApss’nya melahirkan rasa puas hati dan seronok apabila usahanya membuahkan hasil.

“Musim PKP ni tidak boleh selalu keluar, jadi saya cuba semai. Bila jadi rasa puas hati dan seronok mungkin selepas ini boleh jadi hobi baru pula. Dan hasilnya lagi sedap, segar dan rangup dari kedai. Manalah tahu lepas PKP kita boleh jana pendapatan pula,” katanya dengan emoji gembira.

“Geram tengok org berkebun tanam sayur2an di musim PKP ni.. kita nk buat jg tp x de tanah…hahaha… tanam taugey pun jadilahh.. asal dpt lepas gian nk bercucuk tanam..hikhikhikk ??????

“Hasil hari keempat.. dah boleh petikk..ehh! ???? Ptg ni masuk kuali,” kata seorang pengguna FB yang turut berkongsi gambar tauge yang ditanam.

Hanya empat hari sudah boleh dapat hasil.

Aktiviti menanam sayur kini giat dilakukan oleh rakyat negara ini, dan mungkin norma baharu kehidupan selepas PKP aktiviti ini mungkin menjadi sebagai rutin kehidupan atau hobi rakyat negara ini.

Dan sekiranya aktiviti ini diteruskan dan diusahakan dengan minat yang mendalam ianya bukan sahaja untuk seisi keluarga bahkan boleh juga di komersialkan.