Malaysia Dateline

Kerana tidak mampu menawan hati penduduk, Pas dakwa Johor kurang kesedaran politik Islam

Dek tidak mampu menawan hati penduduk Johor, hari ini Pas mendakwa rakyat negeri itu kurang kesedaran politik Islam.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dipetik berkata, kesedaran politik Islam di negeri itu kurang berbanding di Kelantan dan Terengganu, di mana parti itu bertapak kukuh.

Katanya, Pas membuka cawangan parti di Johor lebih awal berbanding di negeri lain tetapi ia gagal mencapai matlamat diharapkan.

Kerana tidak mampu menawan hati penduduk, Pas dakwa Johor kurang kesedaran politik Islam
Pas lebih awal bertapak di Johor tetapi Pas mengakui gagal capai matlamat

“Jadi masalahnya kesedaran politik Islam kurang di Johor. Lain dengan di Kelantan dan Terengganu kerana di situ banyak guru pondok yang terlibat dengan gerakan Hizbul Muslimin yang menentang penjajah Inggeris,” katanya lapor Utusan Malaysia

“Jumlah orang Melayu di Johor begitu besar. Memang harapan Dr Burhanuddin al-Helmy (bekas Yang Dipertua PAS) kita berjaya menang di Johor (PRU 1959).

“Cuma ramalan pimpinan kita pada masa itu tidak berlaku, walaupun Johor ketika itu banyak sekolah agama, dia belajar fardu ain, sembahyang, puasa, zakat dan haji,”ujarnya lagi.

Pada PRU lalu, calon PAS tewas di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan hanya menang di DUN Bukit Pasir.

Hadi berkata, orang Johor kini boleh menerima Pas, walaupun media tidak membuat banyak liputan tentang rekod pencapaian kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu.

Beliau menolak dakwaan pihak tertentu yang menuduh pemimpin PAS kini “mabuk” dengan jawatan dan elaun dinikmati mereka.

“Itu tuduhan tidak tepat. Kita pernah menyertai kerajaan, kita pernah dipecat daripada kerajaan dan kita parti yang tak mati bila keluar kerajaan. Kita terus hidup (walaupun tiada jawatan dalam kerajaan),” tegasnya.