Seorang lelaki langsung tidak menyangka tali silaturahim dengan keluarganya bakal terputus akibat perangai sang isteri yang terlalu sensitif.
Malah akibat daripada satu kejadian salah faham antara ibu dan isterinya, lelaki berkenaan juga tidak dapat lagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama orang tuanya itu.
Sudah tidak mampu lagi menanggung rindu kepada ibu bapanya, berikut perkongsian sang suami yang terpaksa ‘bersembunyi’ demi bertemu empat mata dengan syurganya.
“Aku cuma mahu meluahkan apa yang telah terbuku di dalam hatiku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Aku Syawal, ada seorang isteri yang bernama Puteri dan tiga anak hasil perkahwinan kami selama lapan tahun. Untuk makluman, kami anak-beranak sudah empat tahun tak dapat balik beraya di sebelah keluarga aku.
“Selama itu jugalah anak-anak aku tak dapat berjumpa dengan Tokbah dan Tokmak mereka. Aku luahkan sebab sudah tak boleh tahan lagi dengan dugaan ini. Aku rasa macam tak kuat menanggung kerinduan dan serba salah terhadap orang tua. Tahu dan pasti mereka sedikit sebanyak mesti kecil hati dengan aku.
“Rasa macam aku sudah menjadi anak derhaka. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa aku. Masalah ini bermula dalam satu kejadian di mana kami sekeluarga balik ke kampung sebab ada majlis perkahwinan sepupu aku. Masa itu, angin isteri tak baik. Aku juga masih tak tahu puncanya.
“Waktu itu ibu aku tegurlah isteri, ‘Puteri, Puteri sudah makan? Kalaulah nak makan nanti Puteri pergi ke rumah Auntie Laila’. Ibu aku tegur macam itu sahaja. Nak tahu apa yang jadi? Isteri aku naik angin. Dia cakap, ‘aku tahulah nak cari makan sendiri, sibuk-sibuk tanya kenapa?’.
“Selepas itu kami bergaduhlah. Terus kemas-kemas untuk pulang ke rumah. Anak-anak aku menangis sebab tak nak balik. Aku menangis juga. Ibu dan ayah aku itu merupakan insan yang sangat baik. Walaupun tak kaya dari segi harta, tetapi kaya dengan adab dan kehormatan.
“Isteri aku pula orangnya terlalu ‘overthinking’ dan sangat sensitif. Setiap kali kalau balik kampung aku, angin dia mesti tak baik. Contohnya kalau aku rancang nak balik kampung sehari sebelum raya untuk sambut Aidilfitri. Isteri punya angin itu sampailah aku kena pujuk, pujuk dan pujuk. Akhirnya balik selepas solat raya.
“Kerap sangat berlaku macam ini kalau pulang beraya ke kampung aku. Kalau balik ke rumah keluarga isteri, bukan main dia. Laju sahaja. Tahulah isteri tak suka pulang ke kampung aku. Iyalah, keluarga aku kan miskin. Semenjak kejadian itu, lebih kurang empat tahun tak balik rumah kekuarga aku.
“Isteri juga melarang aku pulang. Katanya kalau aku balik, kami akan bercerai. Tak ke gila. Kalau berlaku kecemasan pun isteri tak benarkan aku balik. Kadang-kadang aku terfikir, isteri atau suami yang ada kuasa veto. Ikutkan kalau aku nak balik, tak perlu mintak izin dia untuk jumpa kedua orang tua.
“Aku tiadalah sampai betul tak balik. Cuma aku tak dapatlah nak tidur dekat rumah orang tua. Kebetulan kerja aku banyak di luar kawasan. Jadi aku akan singgah juga ke rumah orang tua untuk melihat perkembangan mereka secara bersembunyi. Aku kasihankan anak-anak sahaja. Sudah empat tahun mereka tak balik.
“Perbezaan dengan isteri adalah aku orang biasa sahaja, manakala dia pula orang kaya. Aku orang kampung dan isteri orang bandar. Tetapi aku ini sentiasa berusaha untuk mewahkan isteri dan anak-anak. Aku sayang sangat-sangatlah dekat isteri. Walaupun pernah kena sepak terajang, aku tetap sayang.
“Isteri punya overthinking dan sensitif itu kadang-kadang membuatkan aku kasihan dekat dia. Aku macam dapat rasa yang isteri adalah monster yang mental. Kasihan juga tengok dia. Anak-anak pula lebih suka balik ke kampung aku berbanding balik ke rumah keluarga isteri.
“Selama empat tahun juga, hari raya kami disambut dengan pergi ke rumah keluarga isteri atau melancong. Nikmat hari raya yang sebelum ini disambutku dan anak-anak dengan keseronokkan tak lagi dapat dirasai. Tetapi sambutan di kediaman keluarga isteri tetap aku raikan dengan penuh keikhlasan di hati.
“Aku menyantuni keluarga belah isteri dengan baik tanpa ada perasaan dendam pun terhadapnya. Setiap kali aku ajak balik kampung aku, isteri akan marah macam nak mati. Kami akan bergaduh besar dan perkataan cerai akan sentiasa keluar daripada mulut isteri. Perkara ini berlaku juga kalau libatkan anak-anak.
“Kalau aku nak bawa anak-anak sahaja balik beraya, isteri akan melarang setengah mati juga. Aku tak suka bergaduh-gaduh, penat. Jadi Hari Raya kali ini, tiada sebutir perkataan keluar dari mulut untuk pelawa isteri balik ke kampung aku. Hari luahan ini ditulis juga, aku belum balik melawat dan beraya dengan kedua orang tua.
“Derhakakah aku sebagai anak? Dayuskah aku sebagai suami? Kenapa isteri jadikan aku sesorang yang dayus? Sedih, sedih sangat. Tak mahu semua ini berlaku. Sampai kadang-kadang terbangun malam terjaga, aku menangis. Tetapi menangislah dalam diam. Benarlah orang kata, cari pasangan yang sekufu dan memahami.
“Sekufu dari semua segi. Agama, harta, keturunan dan latar belakang. Apabila orang kaya kahwin dengan pasangan miskin, tentulah yang serba kekurangan akan dihina sentiasa. Pada saat ini, aku sangat rindukan keluarga. Teringin menyambut hari raya bersama mereka.
“Aku dapat rasakan nikmat yang Allah kurniakan selama ini, telah ditarik sedikit demi sedikit. Memutuskan silaturrahim, nikmat rezeki aku semakin sukar diperoleh. Rasa sekarang macam tak cukup nikmat rezeki. Hutang semakin bertambah. Aku perasan, tetapi isteri belum nampak semua ini.
“Doakan aku ya pembaca sekalian. Semoga hidup aku akan kembali normal seperti sebelum ini.” Kongsi Syawal (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di dalam forum luahan hati dia atas talian.
Baca juga: “Keluarga suami sanggup sembunyikan aku sebagai isteri kedua, siap bagitahu aku anak angkat”