Keresahan Melayu: Salahuddin anggap isu dipolitik, pemulihan ekonomi sebagai penyelesaian

Keresahan Melayu: Salahuddin anggap isu dipolitik, pemulihan ekonomi sebagai penyelesaian

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub berpendapat beberapa isu mutakhir ini yang dikatakan sebagai keresahan Melayu sebenarnya sengaja dipolitikkan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tersebut, hal itu tidak harus timbul kerana semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) menerima segala perkara berkaitan Melayu dan Islam yang terpelihara di sisi Perlembagaan.

“Timbulnya kebimbangan Melayu ini apabila isu tersebut dipolitikkan. Saya sangat yakin dan percaya semua peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan telah dipersetujui semua parti sebelum mereka masuk ke dalam PH.

“Contohnya, taraf Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa Bumiputera. Itu semua sudah terjamin,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Bilik Gerakan AMANAH sempena PRK Parlimen Cameron Highlands di Kampung Keledek, Kuala Lipis semalam.

Mengambil contoh polemik ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tahun lalu, beliau berkata, hal tersebut ibarat minyak yang mudah dibakar.

“ICERD contohnya jika kita mahu pergi lebih jauh, kami di Kabinet mengambil keputusan tidak meratifikasi ICERD kerana kita bimbang kefahaman itu tidak sampai kepada rakyat.

“Rakyat tidak faham apa itu ICERD. Yang pergi demonstrasi ICERD dulu, kalau kita tanya apa itu ICERD, mereka pun tidak tahu.

“Tapi sentimen itu sangat mudah dibakar. Padahal, jika kita membaca secara objektif ICERD itu, maka kita boleh menyampaikan perkara itu dengan lebih baik dalam kerangka pemikiran baru.

“Termasuklah, adakah dengan meratifikasi ICERD, kita akan meninggalkan Islam sebagai agama rasmi, menghapuskan institusi raja Melayu, hak Bumiputera dan segala kepentingan Melayu dan Islam itu akan terhakis?

“Sebenarnya tidak ada apa-apa pun. Isu-isu ini dibakar atau dipanaskan,” kata Salahuddin.

Ditanya tentang pendirian AMANAH berhubung sejumlah peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Kolej Universiti New Era di Kajang, beliau berkata, hal itu juga telah dipolitikkan.

“Padahal, memang tanggungjawab kerajaan. Hatta kerajaan tidak boleh mengkesampingkan sekolah-sekolah yang tidak sealiran dengan kita kerana itu adalah perkara yang dijamin oleh Perlembagaan.

“AMANAH harus menjadi parti yang sentiasa memberikan penerangan tentang keadilan Islam kepada semua. Apabila isu itu dipolitikkan, saya tidak nampak itu jalan penyelesaian,” katanya.

Sehubungan itu, Salahuddin berpendapat pemulihan dan perkongsian ekonomi secara adil sebagai jalan penyelesaian bagi mengatasi keresahan orang Melayu.

“Mungkin ini semua berlaku pada ketika ekonomi negara kita tidak berapa baik dan kita juga mengalami kekangan kewangan, maka sangat mudah dipolitikkan.

“Jalan penyelesaiannya adalah ekonomi negara kita perlu dipulihkan secepat mungkin dan pendapatan negara harus ditingkatkan.

“Apabila kita ada kekuatan ekonomi yang cukup maka semua itu akan berkonsepkan keadilan. Apabila semua kaum mendapat keadilan maka sentimen perkauman dan agama, sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan akan dapat rasa selesa dengan agihan-agihan yang berkonsepkan keadilan itu,” ujarnya.

Pendidikan politik

Mengulas lanjut, AMANAH jelasnya, amat konsisten dengan sentiasa memberi penerangan dan pengetahuan supaya rakyat lebih faham dan celik.

“Kita harus melakukan pendidikan politik supaya rakyat dapat memahami semua isu politik dalam konteks yang betul.

“Kalau tidak, sangat mudah untuk dimanipulasi termasuk isu kematian (anggota bomba) Allahyarham Adib. Itu juga sangat mudah dimanipulasi.

“Kalau kita menganggap apa yang berlaku di kuil itu satu keganasan yang harus diimplementasikan kepada orang lain, itu tidak betul sebenarnya dari segi perundangan.

“Sesuatu isu itu kita yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya. AMANAH harus menjadi parti yang sentiasa memberikan penerangan tentang keadilan Islam kepada semua,” tegasnya.

Salahuddin turut menafikan dakwaan kononnya AMANAH berdiam diri tentang hal menyentuh kepentingan Melayu dan Islam.

“Kita tidak senyap. Kita tidak meratifikasi ICERD. Dalam isu kematian Adib, kita sudah membuat satu penegasan bahawa undang-undang mesti mengambil tempat.

“Bantuan sekolah-sekolah Cina pula, kita mengambil sikap itu harus dilihat daripada perspektif keadilan sosial dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

“Pendirian AMANAH jelas. Kita tidak mendukung sebarang percubaan ke arah menjahamankan negara, bangsa dan agama. Kita tetap berperanan sebagai jambatan kepada mana-mana pihak yang bertelingkah untuk kita mendamaikan keadaan,” tambahnya lagi.

Salahuddin turun berkempen di Kampung Keledek sempena PRK Parlimen Cameron Highlands.