Kereta dalam video tular rupanya dibeli secara sambung bayar, pemilik tak serah duit kepada pihak bank?

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan sebuah keluarga yang bertindak luar kawalan dengan merosakkan kereta jenis Honda City di perkarangan rumah mereka.

Difahamkan ketika kejadian, pihak penarik kereta turut berada di lokasi sama untuk ‘menarik’ kenderaan yang didakwa memiliki tunggakan bayaran selama lapan bulan itu.

Menerusi rakaman yang dikongsikan oleh pihak penarik kereta, kenderaan tersebut sebenarnya sudah disambungkan kepada lori penunda ketika berada di luar rumah untuk ditarik.

Walau bagaimanapun, ahli keluarga penghuni kediaman berkenaan malah bertindak menghidupkan kereta itu untuk mengundurkannya masuk ke halaman rumah mereka.

Akibat daripada tindakan itu, bampar hadapan kenderaan tersebut tercabut kerana telah disambungkan kepada pencangkuk lori penunda namun ia tidak menghalang keluarga penghuni rumah untuk terus melakukan kerosakkan.

Dalam rakaman tersebut, dapat dilihat penghuni rumah itu memecahkan cermin hadapan kereta menggunakan batu berulang kali sebelum seorang lelaki muncul dengan spanar pencabut tayar menghentak cermin sisi.

Susulan tularnya rakaman itu, timbul pelbagai dakwaan termasuklah yang mengatakan bahawa kereta tersebut sebenarnya dibeli secara sambung bayar oleh salah seorang penghuni rumah tersebut.

Pemilik asal kenderaan berkenaan bagaimanapun tidak membuat bayaran kepada pihak bank walaupun pembeli sudah menyerahkan wang ansuran secara bulanan hingga menyebabkan kereta itu ditarik.

Perkara itu disampaikan oleh seorang bekas guru yang kini bergelar aktivis masyarakat iaitu Mohd Fadli Salleh menerusi ruangan komen di akaun Facebook miliknya.

“Ada yang mendakwa, pemilik kereta ini orang lain. Dia sambung bayar kepada pemilik. Tetapi pemilik tak bayar kepada pihak bank. Kalau betul, pemiliklah naya kena tanggung dengan bank.

“Tetapi pemilik juga boleh menuntut bayaran kerosakan ini daripada mereka. Kereta ini nama dia dan ada bukti kenderaan tersebut dihancurkan. Jadi mereka dalam video ini yang rugi paling teruk.

“Hal ini kerana pemilik asal boleh buat tuntutan dengan mereka untuk bayar kepada pihak bank.” Kata Fadli Salleh dalam ruangan komen selepas turut memuat naik rakaman kejadian tersebut di akaun Facebook miliknya.

Tinjauan kami mendapati rakaman asal yang dimuat naik di laman TikTok oleh pihak penarik kereta sudah dipadam namun video tersebut telah dikongsi semula di pelbagai platform media sosial.

Baca juga: Tular video pekerja warga asing selamba sorokkan minyak masak, buat tak tahu bila ditegur