Malaysia Dateline

Kereta dan bonus Exco: Nik Nazmi dakwa Pas gagal tadbir Kelantan

Pembelian kereta rasmi mewah Mercedes-Benz dan pemberian bonus Exco sebanyak RM50,000 di Kelantan menjadi isu panas yang boleh dikatakan bercanggah dengan keadaan ekonomi yang berlaku di negeri itu.

Untuk rekod, Kelantan merupakan negeri termiskin di Semenanjung Malaysia dengan mempunyai kadar kemiskinan tertinggi sebanyak 11.6 peratus berbanding 3 peratus di peringkat nasional.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, sejak menjadi Kerajaan Persekutuan, Pakatan Harapan (PH) banyak membantu Pas dalam mentadbir negeri itu terutama melalui pembayaran royalti minyak.

Namun menurutnya, parti pembangkang itu dilihat terus memainkan isu Pakatan Harapan (PH) gagal memenuhi janji manifesto, tanpa menghiraukan prestasi mereka sendiri termasuk perancangan untuk masa hadapan negeri itu.

“Pendukung Pas kerap menyatakan ia (kemiskinan) berlaku kerana Kelantan dianaktirikan Umno Barisan Nasional (BN) sejak mereka memenangi Kelantan pada tahun 1990.

“Walaupun hujah ini ada kebenarannya, namun zaman sudah berubah. PH bukanlah BN.

“Walaupun kesengsaraan ini terpaksa di hadapi oleh rakyat Kelantan kerana persengketaan politik di antara Pas dan Umno, ia turut berpunca dari tindakan dan kegagalan dasar Pas sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tahun lalu, Kelantan menamatkan saman mereka terhadap Kerajaan Persekutuan dan menerima bayaran royalti minyak sebanyak RM15.7.

Kelantan juga difahamkan menerima pendahuluan RM100 juta dalam bentuk pinjaman dari Kerajaan untuk pembayaran kos operasi termasuk gaji kakitangan Kerajaan Negeri.

Pembayaran ‘one-off’ sebanyak RM400 juta turut diberikan. Semasa pembentangan Belanjawan 2020, Kelantan menerima RM1.5 bilion untuk tujuan pembangunan

Justeru, Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan itu menegaskan, sebagaimana kerajaan membelanjakan wang itu sebagai amanah daripada rakyat, mereka (rakyat) berhak bertanya adakah wang itu telah digunakan dengan baik.

Jelasnya, ahli dan pengundi parti itu mempunyai hak untuk mempersoalkan sikap pemimpin mereka, bagaimana bantuan munasabah telah pun diberikan namun prestasi Kelantan masih jauh di belakang.

“Pas tidak boleh menyalahkan halangan politik lagi. Jika ‘Muafakat Nasional’ dengan Umno benar-benar diamalkan, mereka memiliki majoriti yang amat besar di Kelantan dan Terengganu.

“Tapi apa sebenarnya yang dilakukan PAS untuk menggunakan senario politik yang lebih baik ini? Ke manakah jumlah wang yang besar yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan itu digunakan?

“Mereka terus bermain politik, termasuklah ‘undi percaya’ dan merosakkan kehamornian negara dengan politik asabiyyah,” katanya.

Terdahulu, Kelantan yang ditadbir Pas membeli 14 buah kereta Mercedez-Benz di mana kereta yang digunakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berharga lebih dari RM600,000 di pasaran.

Kemudian, wujud pula laporan yang mengatakan Exco Kelantan menerima ‘bonus’ sebanyak RM50,000 seorang, berbanding dengan penjawat awam yang hanya menerima bonus RM1,000 seorang.

Manakala pemegang jawatan ‘lantikan politik’ dari kerajaan negeri, seperti penghulu dan guru agama pula akan diberikan RM250 seorang.