Kereta dilanggar belakang ketika Hari Raya ‘mengejut’, jangan maki hamun, ikuti 14 tips apa patut dibuat

Oleh ARIF ATAN

Insiden kereta dilanggar dari belakang ketika Hari Raya ‘mengejut’ tahun ini pasti mengundang rasa marah.

Namun, sebagai pemandu berhemah, jangan gaduh-gaduh dan maki hamun pemandu yang melanggar itu.

Ikuti 14 tips apa patut dilakukan sekiranya kereta anda dilanggar dari belakang seperti dikongsikan Badrul Harith ini:

1. Jika ada orang langgar kereta anda dari belakang, jangan panik dan bawa bertenang.

2. Berhentikan kereta anda di tepi jalan di kawasan yang lapang dan selamat. Ini untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalulintas.

3. Selepas anda lihat kenderaan yang melanggar kereta anda juga memberhentikan kenderaannya, ambil telefon bimbit dan keluar dari kereta anda.

Ingat! Jangan ambil sebarang alatan yang berbahaya seperti steering lock, parang, peralatan yang diperbuat daripada besi dan sebagainya.

Anda mungkin boleh dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan harta benda awam.

4. Ambil gambar plat dan cukai jalan kenderaan yang langgar anda tadi.

5. Apabila pemandu kenderaan yang langgar anda tadi keluar daripada kenderaannya, sapalah dia dengan baik. Kalau pun anda tidak mampu nak senyum dengannya, janganlah terus maki hamun kepadanya.

6. Tanyakan kepadanya dengan baik kenapa dia langgar kereta anda tadi? Kebiasaannya dalam situasi sebegitu masing-masing akan cuba menyalahkan satu sama lain.

Kawal kemarahan anda, jangan bertengkar, bergaduh dan berbalah di situ kerana ianya takkan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

7. Kalau boleh minta tengok daripada pemandu yang langgar kereta anda tadi kad pengenalan atau lesen memandunya. Ambil gambar kad pengenalan atau lesen memandunya. Sekiranya pemandu itu enggan beri, jangan memaksa.

8. Jika dia tidak mengaku bersalah melanggar kereta anda, jangan paksa dia mengaku atau paksa dia bayar wang kepada anda.

Beritahunya, dari segi undang-undang, sekiranya sesuatu kenderaan melanggar kenderaan lain daripada belakang, kecuaian adalah disebabkan oleh kenderaan yang melanggar itu.

9. Jika dia mengaku bersalah, minta dia menanggung kos pembaikan kereta anda. Sekali lagi saya ingatkan, tidak perlu minta wang daripadanya. Terus ajak dan bawa dia ke bengkel yang anda biasa berurusan untuk menilai berapakah kerosakan kereta anda.

Kalau boleh terus pergi, jangan tangguh-tangguh walaupun anda ada urusan lain. Lagi cepat anda selesaikan perkara tersebut lagi bagus.

10. Jangan lupa ambil nombor telefonnya atau bisnes kadnya supaya mudah anda menghubunginya nanti.

11. Dapatkan sebutharga dan minta yang memandu itu terus bayar untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang berlaku.

12. Jika dia berkeras tidak mahu mengaku bersalah dan tidak mahu tanggung kos pembaikan kereta anda, tidak mengapa.

Jangan serang atau melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah terhadapnya. Biarkan saja dia pergi. Ini kerana anda telah dapat segala info berkenaan kenderaan dan dirinya.

13. Terus pergi buat laporan polis di balai polis berhampiran.

14. Pergi terus ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan mintak mereka uruskan 3rd parti claim untuk membaiki kerosakan kereta anda tersebut.

Itu sahaja!

Mudah bukan? Tak perlu gaduh-gaduh dan melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah anda dan boleh mendedahkan anda kepada perlakuan jenayah.