“Kereta ini tiada di Indonesia!” – Pelajar seberang dedah punca pilih pakai Proton Satria di Malaysia

Oleh WAN SITI AMINAH

Proton Satria adalah keluaran kereta ‘hatchback’ terawal dari pengeluar kereta jenama tempatan tersebut untuk menarik minat golongan muda dan strategi itu terbukti telah berjaya.

Malah kereta itu juga berhasil mengekalkan popularitinya terutamanya dalam kalangan mereka yang masih ‘berjiwa muda’ meskipun kenderaan tersebut sudah lama tidak dikeluarkan.

Namun siapa sangka, kereta jenis Satria ini turut menarik minat jiran tetangga kita iaitu Indonesia sehingga mereka membuat keputusan untuk memiliki kenderaan tersebut ketika berada di Malaysia.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, dua individu dipercayai merupakan pelajar di salah sebuah universiti di Malaysia berkongsi cerita mengenai kereta Satria yang mereka miliki.

Pelajar berkenaan turut mendedahkan beberapa punca yang mendorong mereka untuk memilih Proton Satria sebagai kenderaan berbanding kereta keluaran baharu lain di pasaran Malaysia.

Menurut salah seorang pelajar yang dikenali sebagai Zaki, antara punca utama mengapa Proton Satria dipilih adalah kerana harganya yang lebih mudah dan mampu milik berbanding kereta lain.

Jelas Zaki dalam perkongsian berbentuk video itu, pemilik kereta tersebut juga tidak perlu menampung kos ‘pajak’ yang terlalu tinggi melibatkan perlindungan insurans dan cukai jalan setiap tahun.

Kemudahan mendapatkan komponen untuk membaiki sebarang kerosakan kepada kereta dimilikinya itu turut menjadi faktor penentu mengapa kenderaan jenama tempatan itu dipilih.

Malah, perakam video selaku seorang lagi pemilik kereta tempatan itu turut memaklumkan bahawa model Proton Satria 1.3 (C96) dan Proton Satria 1.8 GTi (C99) dimiliki mereka itu tidak dipasarkan ke Indonesia.

Kedua-dua pemilik itu bersetuju bahawa harganya yang murah serta kos penyelenggaraan tidak begitu tinggi menjadi punca mereka memilih untuk memakai Proton Satria selama mengikuti pengajian di Malaysia.

Baca juga: Iklan jual rumah teres berharga RM250,000 di Shopee raih perhatian