Kereta mewah tak kena ‘clamp’, pemilik Bezza didenda kesal penguat kuasa bersikap tak adil

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang pemilik kereta Perodua Bezza meluahkan ketidakpuasan hatinya selepas dikenakan tindakan ‘clamp’ atau kunci roda kenderaan oleh pihak berkuasa.

Menerusi rakaman yang dikongsikan di platform TikTok itu, pemuda terbabit mempersoalkan keputusan anggota penguat kuasa mengunci roda kenderaan miliknya sahaja sedangkan kereta lain di situ tidak dikenakan tindakan.

Pemilik akaun TikTok itu mendakwa, anggota berkenaan tidak mengenakan tindakan sama kepada kereta mewah yang turut melakukan kesalahan iaitu meletakkan kenderaan di tepi jalan atau di kawasan tiada petak parkir.

Walaupun denda yang dikenakan akibat kesalahan itu sudah dibayar, namun pemilik Bezza berkenaan berharap persoalan mengapa kenderaan mewah tidak dikenakan tindakan sama dijawab oleh pihak berkuasa.

“Kunci roda kenderaan Bezza tetapi tidak mengenakan tindakan sama terhadap kereta mewah. Mohon pihak penguat kuasa berikan penjelasan. Untuk makluman, kami sudah membayar denda yang dikenakan.

“Tetapi di manakah keadilan? Adakah situasi ini bermakna pemilik kenderaan mewah bebas melanggar peraturan? Apabila ditanya mengapa kereta mewah tak kena ‘clamp’, mereka (anggota penguat kuasa) hanya berdiam diri,” kesalnya.

Dalam rakaman tersebut, terlihat dua buah kereta mewah dipercayai Land Rover Range Rover dan juga kenderaan pelbagai guna (MPV) berjenama Toyota turut berada di lokasi berdekatan namun tidak dikenakan tindakan sama.

Malah ketika ditanya perakam video, anggota penguat kuasa berkenaan dikatakan hanya bertindak berdiam diri tanpa memberikan sebarang penjelasan mengenai perkara tersebut.

Pemilik Perodua Bezza itu juga mengakui kesilapannya kerana meletakkan kenderaan di kawasan yang salah namun berharap pegawai penguat kuasa tidak bersikap ‘double standard’ terhadap pemilik kereta mewah.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna TikTok berkongsi pendapat bahawa situasi berkenaan mungkin berlaku ekoran peralatan ‘clamp’ atau pengunci roda terlalu kecil untuk tayar kereta mewah tersebut.

Ramai juga pengguna berharap pihak penguat kuasa turut mengenakan tindakan saman atau denda sekiranya roda kenderaan mewah itu tidak boleh dikunci agar lebih adil kepada semua pengguna jalan raya.

Baca juga: Dia okay ke? Netizen pelik tengok perangai Fazura makin aneh