Malaysia Dateline

Kereta dibakar: Polis Perlis ingatkan mufti waspada keluar kenyataan

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd. hari ini mengingatkan Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin agar berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan ekoran kes kebakaran kereta rasmi tokoh agama tersebut sebelum ini.

Menurutnya, Dr Asri juga harus berjaga-jaga memandangkan dua suspek yang disyaki terlibat dengan kes itu masih belum diberkas pihak berkuasa.

Untuk rekod, kereta Dr Asri jenis Honda Accord hitam yang turut terdapat kesan pecah pada cermin hadapan dan belakang dipercayai dibakar dalam kejadian awal pagi 22 Mac lalu.

Walaupun pihaknya sudah mengerahkan pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatannya bersama ahli keluarga, Noor Mushar berkata, langkah tersebut bukan jaminan sepenuhnya ke atas keselamatan mereka.

“Saya bukan berniat hendak takutkan dia (Dr Asri), tapi ini adalah realitinya memandangkan situasi sekarang yang dilihat sedikit tegang dalam sehari dua ini.

“Ditambah pula semalam dia (Mohd. Asri) sendiri mengesyaki kejadian yang menimpanya itu adalah perbuatan pengganas dan pihak polis tidak boleh memandang ringan akan dakwaan itu meskipun motif kejadian lebih terjurus kepada unsur khianat dan dendam,” katanya.

Mengulas tentang tindakan terhadap suspek, beliau memberitahu pihaknya kini sedang giat memburu kedua-dua mereka terbabit dan yakin mereka akan diberkas dalam masa terdekat.

“Kedua-dua lelaki tempatan terbabit akan ditahan tidak lama lagi,” katanya.

Semalam, Dr Asri menyifatkan pihak yang membakar kereta rasminya di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di Kangar, baru-baru ini sebagai perbuatan pengganas.

Sehubungan itu, beliau berharap, dua pelaku tersebut yang perbuatan mereka telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) segera ditangkap.

Terdahulu, berdasarkan siasatan awal polis dilapor akan menyiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.