Malaysia Dateline

‘Kereta terbang’ bakal terbang di Maldives

Kenderaan super dron atau ‘kereta terbang’ UAS E-Hang 216 (EH216) dijangka melakukan penerbangan pertamanya di negara Maldives tidak lama lagi selepas gagal dipandu uji di Subang, 21 November lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pihaknya menerima undangan khas daripada usahawan swasta terlibat untuk bersama-sama menyaksikan detik bersejarah itu.

“Kita kerajaan bukan membelanjakan satu sen pun, kita memudahcarakan kepada orang muda yang hendak melibatkan diri dalam aerospace air mobility industry.

“Takkan tidak boleh buat.. ini bukan dasar kerajaan. Dia pergi buat tempat lain. Okay dia pergi tempat lain contoh tidak boleh terbang di Subang itu hari dia akan terbang di Maldives.

“InsyaAllah dia akan jemput Pakwan untuk terbang di Maldives untuk inter island hopping, tidak ada masalah,” katanya selepas Program Himpunan Usahawan Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Menurut pemimpin Bersatu itu, tarikh sebenar penerbangan di Maldives masih belum dimaklumkan buat masa ini, bagaimanapun beliau menyatakan kesediaan untuk ke lokasi pelancongan yang terkenal dengan keindahan pantai itu.

Terdahulu pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan ‘kereta terbang’ pertama Malaysia itu yang dijadualkan diuji pada 21 November lalu.

Tambah Mohd Redzuan berkata peraturan dan birokrasi yang ketat menjadi penghalang kemajuan pembangunan industri aeroangkasa dan mobiliti udara.