Malaysia Dateline

Kereta terbang keluaran China untuk riadah buat penerbangan pertama kali di Dubai

Kereta terbang keluaran China khusus untuk riadah dan juga pengangkutan perubatan melakukan penerbangan pertama kali di Dubai baru-baru ini.

Kereta terbang keluaran sebuah syarikat berpangkalan di China, X2 dipamerkan sebagai kereta terbang perjalanan altitud rendah untuk tujuan seperti riadah dan juga pengangkutan perubatan.

Kereta terbang berkenaan yang berkemampuan berlepas dan mendarat secara menegak, atau eVTOL, mempunyai kokpit tertutup dengan dua tempat duduk.

Manakala rangkanya pula diperbuat daripada struktur gentian karbon. Ia juga mempunyai dua mod penerbangan iaitu manual dan juga automatik.

Presiden XPeng, Brian Gu menyifatkan acara tersebut sebagai langkah utama dalam penerokaan mobiliti masa depan.
Syarikat tersebut ketika ini sedang menyusun langkah untuk pengenalan produk dalam pasaran antarabangsa.

“Pameran awam Xpeng X2 di Dubai mewakili pencapaian penting bagi Xpeng Aeroht dan pencapaian antarabangsa kereta terbang,” kata Gu dalam satu kenyataan bertarikh 10 Okt.

X2 ialah kereta terbang generasi kelima XPeng Aeroht. Syarikat itu berkata mereka merancang untuk mengumumkan kemajuan pada model generasi keenam yang boleh di pandu di jalan raya dan terbang di acara 1024 XPeng Tech Day, yang bakal berlangsung pada 24 Oktober.

Menurut Morgan Stanley, terdapat beberapa syarikat termasuk TCab Tech dan AutoFLight China sedang meneroka pasaran penerbangan bandar altitud rendah atau mobiliti udara bandar global dengan nilai pasaran dijangka melebihi RM 5 trilion menjelang 2024, lapor Bloomberg.

Baca juga: 24,197 bekalan dadah untuk penagih dirampas, suami isteri dicekup dalam 2 serbuan

Baca juga: Eh, gigih betul sampai sanggup ukir nota pada pen