Malaysia Dateline

‘Keributan dalaman teman seperjuangan meresahkan semua’

Timbalan Ketua Biro Dakwah AMANAH Nasional, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berharap perbalahan dalam parti komponen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat diselesaikan pada kadar segera.

Tanpa menyebutkan mana-mana parti, Ahli Jawatankuasa AMANAH Selangor itu berkata, percakaran tersebut mendatangkan tempias kepada rakan-rakan parti dalam PH.

“Kini keributan dalaman teman seperjuangan meresahkan semua. Pastinya kita sendiri tidak selesa dengan perkara ini.

“Saya bukan hendak mencampuri urusan mana-mana pihak tetapi apa yang berlaku tetap memberi kesan kepada rakan komponen seperti kami,” ujarnya kepada Malaysiadateline.

Adun Meru tersebut mengingatkan rakyat era Malaysia Baharu ini hanya mahu permasalahan mereka termasuk berkaitan ekonomi ditangani.

“Kini rakyat hanya tahu dan mahu perut mereka terisi, kebajikan terbela dan permasalahan mereka kita selesaikan.

“Harapan tinggi menggunung kepada kita dari rakyat kena kita penuhi,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Fakhrulrazi tidak mahu krisis parti komponen PH itu berterusan tanpa penyelesaian segera.

“Harapan saya selesaikan segera permasalahan ini. Sebab kami mahu bekerja untuk rakyat sebab mereka adalah tuan sebenar kepada kita.

“Anda semua orang yang hebat pastinya isu ini boleh diselesaikan dengan harmoni,” ujarnya.

Kelemahan komunikasi

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh tentang kejayaan AMANAH menganjurkan Konvensyen Nasional 2019 yang melabuhkan tirai semalam.

“Alhamdulillah, semua perwakilan dan ahli kembali ke lapangan dengan semangat untuk terus berjuang.

“Setelah hampir setahun tujuh bulan PH di persada kepimpinan negara, banyak perubahan dan kejayaan dikecapi.

“Malangnya, tidak disedari rakyat kebanyakan lantaran kelemahan kita sendiri. Antara yang dilontarkan, kelemahan komunikasi dan sudah pastinya Kementerian Komunikasi dipersalahkan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Ustaz Mohd Fakhrulrazi mempersoalkan sejauhmana dakwaan tersebut benar memandangkan kemenangan PH pada PRU-14 tahun lalu adalah tanpa penguasaan media.

“Namun, benarkah itu puncanya? Sebelum kita memerintah, kita langsung tidak menguasai media ini.

“Tetapi Alhamdulillah, kejayaan besar kita kecapi sehingga tumbang parti gergasi Melayu Umno terbesar di dunia menyembah bumi,” tambah Pengarah Sumber Manusia AMANAH Selangor itu lagi.