Malaysia Dateline

Kerinchi dan Pak Amjal

Kampong Kerinchi sedikit demi sedikit terhakis dari sejarah perjuangan bangsa. Pembangunan yang rancak tidak sahaja menghapuskan kesan-kesan sejarah yang berbaki tetapi usaha memberi nama-nama kepada penempatan baru adalah satu pencabulan sejarah Kampong Kerinchi.

Kini kawasan Kampong Kerinchi dikenali dengan Bangsar South dan nama itu diiktiraf oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menjadi penjaga ibu kota. Suara Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan bagai diabaikan.

Pak Amjal pernah ditahan polis kerana demonstrasi.

Kerinchi adalah nama suku yang termasuk dalam gugusan suku Melayu yang terkenal sebagai perantau. Apabila mereka buka dan tinggal di suatu tempat baru, mereka namakan tempat tersebut dengan nama suku mereka. Oleh itu, nama tempat adalah nama suku juga.

Seperti orang York di United Kingdom yang berhijrah ke Amerika Syarikat, apabila mereka tinggal di penempatan baru, mereka namakan tempat baru itu sebagai New York. Begitu juga orang Inggeris di Wales yang berpindah ke Australia, mereka namakan tempat baru mereka di Australia sebagai New South Wales. Nama adalah jati diri.

Kampong Kerinchi dibuka oleh perantau dari Sumatera pada penghujung 1890an. Masa itu, orang kaya dan pembesar Kuala Lumpur mempunyai hubungan akrab dengan Sultan Selangor. Antaranya Abdulah Hukum. Beliaulah pemimpin yang bertanggungjawab meneroka kawasan sekitar Bangsar atau Lembah Pantai ini. Bahkan beliau juga diiktiraf sebagai peneroka awal atau pengasas Kuala Lumpur.

Pak Cik Amjal berhijrah ke kota Kuala Lumpur meninggalkan kampong halamannya di Jelebu pada 1961. Masa itu, Kampong Kerinchi ramai orang Melayu dari pelbagai negeri. Pak Amjal dirikan rumah di celah pokok hutan di pinggir bukit yang menghijau. Setinggan. Pada tahun 1966, kerajaan membina Angkasapuri di Kerinchi dan menjadikan satu mercu tanda Kuala Lumpur.

Bangunan yang menjadi mata dan mulut negara dikelilingi rumah-rumah penduduk yang menumpang tinggal di tanah kerajaan. Setelah lebih seabad RTM bersama dengan Kampong Kerinchi, mata dan mulut RTM seperti tertutup tentang malangnya sebuah kampong sekejiranannya.

Pada awalnya, Pak Amjal dan penduduk Kampong Kerinchi korek tanah untuk buat telaga bagi mendapatkan bekalan air. Ketika itu, telaga itu dikongsi bersama dengan penduduk sekitar yang sama-sama menjadi peneroka bandar. Ramai orang Perak katanya.

Semasa saya belajar di UM, beberapa kawan saya yang berkahwin semasa belajar sewa setinggan di sini. Murah. Bunyi radio dan tv jiran boleh kongsi. Atap rumah jiran bersentuhan dengan atap rumah sewa. Lorong motosikal dan jalan kaki hanya di celah-celah rumah penduduk.

Bagi menyara kehidupan, Pak Amjal bekerja sebagai penjual akhbar dan majalah di sekitar kotaraya. Jual akhbar Suara Merdeka, Utusan, Watan dan majalah hiburan. Dia jarang membaca. Pak Amjal jual saja. Kerjaya itu menyebabkan Pak Amjal berhubung dengan orang-orang yang rapat dengan dunia akhbar dan wartawan.

Apabila UDA hendak membantu orang Melayu berniaga, Pak Amjal antara tiga orang Melayu terpilih untuk skim tersebut. Namun pihak UDA mengenakan sewa RM500 sebulan. Diapun nekad. Pak Amjal buka restoran. Pada awal 80an, waktu rehat semasa saya belajar di Yayasan Anda Akademi, kami sering bersarapan di sini. Pak Amjal yang tebar roti canai.

Sebelahnya adalah klinik Dr. Tahir. Kini bangunan itu sudah diroboh dan dibina bangunan baru. Tapak bekas Restoran Amjal kini jadi hotel. Bekas klinik itu kini Restoran Haslam.

Masa awal berniaga di situ, seorang kawan Pak Amjal buka kedai buku buku dan majalah. Manakala seorang lagi buka kedai runcit. Manakala baki lot kedai di bangunan UDA disewa oleh para peniaga lain. Lama juga Pak Amjal berniaga di situ.

Kini, beliau berniaga berhampiran Stadium Hoki Kuala Lumpur, Lembah Pantai. Tidak jauh daripada tempat asalnya membuka restoran. Tempat sekarang Pak Amjal pohon pada zaman Datuk Harun Idris jadi Menteri Besar Selangor tetapi diluluskan semasa Datuk Hormat Rafei jadi Menteri Besar. Pada masa itu, Datuk Hormat Rafei kata, ‘bolehlah buat tanam pisang dan jagung.’

Kini lokasi kedai makan Pak Amjal sangat strategi. Banyak kali juga pemaju berminat hendak beli tanah Pak Amjal. Pak Amjal enggan atau lawan. Pak Amjal adalah ahli jawatankuasa Peneroka Bandar yang dianggotai Dr Syed Husin Ali, Dr Nasir Hasyim, Cikgu Ishak Surin dan banyak lagi. Oleh itu Pak Amjal sering turun di mana ada projek pembangunan bandar yang memusnahkan tempat peneroka bandar. Pak Amjal akan turun membuat bantahan.

Tun Razak sangat menggalakkan orang kampong berhijrah ke kota bagi mengubah nasib ekonomi bangsa. Aktiviti perekonomian di kampong sukar untuk mengubah kehidupan orang Melayu. Maka ramailah orang kampong mengadu nasib ke kota. Termasuklah saya yang ingin menyambung pelajaran untuk mengubah kehidupan.

Saya mula mengenali Pak Amjal sebagai pembangkang kerajaan pada masa itu. Pak Amjal menyertai Pas pada waktu peguam Syed Ibrahim jadi calon Pas bagi parlimen Lembah Pantai pada 1982. Mula-mula Pak Amjal ikut al Arqam di Sungai Penchala, kemudian ikut pengajian Pak Yazid di Kampong Baru. Pada tahun-tahun 70an hingga 80an disebut ramai sarjana sebagai zaman kebangkitan Islam terutama selepas revolusi Islam di Iran.

Apabila menyertai Pas, Pak Amjal dipilih menjadi Ketua Pas Cawangan Flat 16 Tingkat Kampong Kerinchi. Cawangan tersebut pernah mendirikan papan tanda parti mereka yang menimbulkan kontroversi apabila mereka menamakan parti mereka sebagai ‘parti Allah’. Ia merupakan terjemahan terus daripada istilah al Quran, ‘Hizbullah’.

Penulis dan Pak Amjal

Dia memang aktivis dan pemimpin yang serba boleh pada aktiviti Pas Wilayah. Pak Amjal juga jadi orang kuat Masjid Rahman. Dia bawa Ustaz Fadzil M. Noor mengadakan kuliah bulanan di situ. Kami yang belajar di Universiti Malaya sering memenuhi ruang masjid tersebut mendengar kuliah Ustaz Fadzil M. Noor. Kini beliau bersama AMANAH.

Jiwa Pak Amjal memang jiwa sosialis kental tetapi tindakannya seorang nasionalis. Sepanjang sembangnya, tidak putus-putus menyuara kebimbangan nasib orang Melayu terutama dalam mengharung kehidupan di kota yang serba mencabar. Apabila saya merindui Lembah Pantai, saya akan berkunjung ke kedai makan Pak Amjal.