“Kerja apa sampai pakai Vellfire, tunggang agama ke?”, terdiam Ustaz Adnin terima soalan panas

Oleh KIM SYAZIE

Mungkin ramai yang tak tahu, Ustaz Adnin Roslan yang popular dengan buku Tarbiah Sentap sebenarnya mempunyai syarikatnya sendiri yang didaftar atas nama Sentap Press Sdn Bhd.

Hasil pendapatan pempengaruh dan penulis itu bukan semata-mata bergantung kepada ceramah atau jemputan motivasi, sebaliknya beliau mempunyai pendapatan tetapnya sendiri.

Bagaimanapun baru-baru ini seorang pengguna TikTok mengajukan soalan kepada Ustaz Adnin tentang pekerjaannya yang sebenar sehingga mampu menggunakan Toyota Vellfire sebagai kenderaan harian.

“Kerja apa sampai pakai Vellfire? Tunggang agama ke? Selalu ustaz-ustaz ni zuhud je”, demikian soalan yang ditanyakan menerusi kotak ‘Ask me a question’ di TikTok.

Sebelum menjawab soalan itu, Ustaz Adnin terdiam seketika sebelum beristighfar. Beliau lantas menceritakan situasi sebenar di mana sebelum ini dia menggunakan kereta Proton Saga, namun kemudian dia menukarnya pula kepada Toyota Vios.

Menurut cerita Ustaz Adnin, dia dan isterinya pernah terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan kereta Vios miliknya rosak berpanjangan dan atas isu keselamatan beliau memilih untuk membeli kereta yang lain, iaitu Toyota Avanza.

“Kenapa (pilih) Avanza kerana saya ini kerap (hadiri) ceramah dan dalam sebulan kira-kira 30 hingga 50 universiti dan sekolah yang kena pergi.

“Saya bagi ceramah secara free dan tidak berbayar tetapi setiap ceramah saya bawa buku. Sebab itu saya pilih Avanza supaya dapat bawa buku banyak,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, masalah masih lagi berterusan di mana kereta tersebut tidak memberi keselesaan kepadanya.

Ujarnya, beliau tidak dapat berehat di dalam kereta kerana rasa ketidakselesaan sehingga ia membuatkan kesihatannya bertambah buruk.

Perkara itu juga membuatkan beliau membatalkan beberapa ceramah selain keretanya tidak boleh menampung berat buku yang dibawa.

Selepas itu, Ustaz Adnin meningkatkan status hidupnya dengan membeli Toyota Vellfire atas dasar menjaga keselamatannya dan keselesaan.

“Ini kerana supaya selepas ceramah saya boleh rehat dengan selesa di dalam kereta dan perkara itu juga bagus untuk kesihatan.

“Pada masa yang sama boleh bawa banyak lagi buku dalam keadaan kereta saya tidak rosak.

“Itulah sebab saya beli Vellfire pada tahun 2021, bukan sebab saya nak menunjuk-nunjuk, tiada masa saya untuk melakukan perkara itu”, katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan maksud zuhud yang sebenar supaya ia tidak disalah tafsir oleh orang ramai.

“Miskin bukan tanda zuhud, kaya bukanlah bermakna tak zuhud. Zuhud itu ialah orang yang meletakkan dunia di tangannya dan bukan hatinya.

“Dia tidak menjadikan dunia tujuan hidupnya, tapi dijadikan alat untuk mencapai tujuan hidupnya yang sebenar iaitu akhirat,” tambahnya lagi.

Baca juga: Rupanya senang je nak buka stesen minyak, ini 4 syarat penting yang perlu dipenuhi