Kerja desak undi automatik cabaran besar, kata Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Nasional (Pemuda Amanah) mengakui program ‘gempur pengundi’ dan gerak kerja mendesak Kerajaan Persekutuan melaksanakan pendaftaran automatik ke atas rakyat 21 tahun ke atas merupakan cabaran besar.

Ini kerana  seramai 5.7 juta orang rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum lagi mendaftar untuk menunaikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Pengarah pilihan raya Pemuda Amanah, Taqiuddin Che Man berkata, Pemuda Amanah  sedang menggerakkan jentera di peringkat Pemuda Pakatan Harapan untuk menggembleng tenaga bagi mencapai objektif gerak kerja pilihan raya menjelang piihan raya umum ke-14.

“Kita percaya bahawa jentera Pakatan Harapan merupakan kuasa politik yang mampu menggantikan Barisan Nasional dan memperoleh mandat untuk menyelamatkan Malaysia.

“Sungguhpun usia Amanah baru dua bulan, Pemuda Amanah dengan keupayaan yang ada optimis untuk menggerakkan seramai mungkin ahli-ahli baru serta yang berpengalaman dalam menjayakan objektif dwi gerak kerja ini,” katanya dalam satu  kenyataan.

Pada 14 hingga 15 November lalu, jentera Pemuda Amanah dari seluruh negara berkampung di Gopeng, Perak bagi menggerakkan tenaga dan peranan setiap petugas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak dan PRU-14.

Justeru Pemuda Amanah  menyeru golongan muda, yang merupakan kelompok terbesar pengundi akan datang untuk berganding bahu menukar kerajaan sedia ada.

“Hakikatnya negara kini sedang tenat dan tidak mampu lagi untuk ‘melayan tembolok’ pemimpin-pemimpin negara yang masih terus dengan gaya hidup mewah dan menyusahkan rakyat,” katanya.

TAGS