Malaysia Dateline

‘Kerja kerajaan dikelek, kerja parti didukung’

Bertemu bual dengan ‘orang lama’ di akar umbi, dapat dirasakan keikhlasan suara mereka. Golongan yang lebih dahulu makan garam ini sarat pengalaman yang wajar diberi perhatian para pimpinan.

Penulis dan pengarang Ahmad Lutfi Othman sempat menemui Ketua AMANAH Kawasan Pontian, Raden Sorobo Pono sambil meninjau situasi semasa menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menjengah usia 72 tahun, beliau yang diberi tanggungjawab untuk menerajui parti di Parlimen Pontian itu berpendapat AMANAH perlu tampil dengan identiti sesuai sebagai parti Islam.

“Orang tua tunjuk jalan kepada orang muda. Sepatutnya, mereka sambung usaha orang lama. Golongan agama dalam AMANAH pula usah terpinggir atau meminggir,” ujarnya.

Ditanya tentang perkembangan AMANAH di Parlimen Pontian khususnya, Raden memberitahu ahli parti pada masa ini mencecah kira-kira 800 orang iaitu pertambahan 250 peratus berbanding sebelum PRU-14.

“Bagi orang Melayu ada dari Pas, ABIM, juga IKRAM. Ahli daripada kaum India ada 160 orang. Ada asalnya dari MIC, PPP dan dari luar pun masuk AMANAH.

“Ahli dari keturunan Cina di Pontian pula kira-kira 140 orang. Di Benut saja ada 30 orang. Mereka ini dulunya bersama DHPP (Dewan Himpunan Penyokong Pas),” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan AMANAH memerlukan modul pengisian jelas untuk diikuti setiap ahli parti dengan mengambil kira kemajmukan dan kepelbagaian latar belakang.

“Kuliah-kuliah kena kerap ada bagi mengisi makna tertubuhnya AMANAH sebagai sebuah parti Islam yang progresif.

“Dalam masa sama, mesti ada pengisian dalam kalangan ahli yang pelbagai kaum. Begitu juga perlu ada darjah toleransi kepada rakan-rakan komponen PH. Semua ini mad’u (penerima dakwah) kita,” jelasnya.

Dalam masa sama, bekas pimpinan ABIM tersebut berpendapat AMANAH berdepan cabaran dalam mengimbangi gerak kerja dalam kerajaan dan parti.

“Sepatutnya menerusi permukiman (retreat), kita boleh perkukuhkan AMANAH. Ada dua perkara kita mesti tumpukan.

“Satu, buat kerja kerajaan. Kedua, buat kerja jaga parti,” ujar bekas calon Pas bagi Dun Pulai Sebatang pada PRU 2004 berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar kepimpinan parti di peringkat nasional memberi penekanan terhadap aspek kaderisasi parti.

“Wajah Islam pada AMANAH mesti ada. Kalau AMANAH bukannya parti Islam, saya pun tidak mahu sertai,” tegasnya.

Jelasnya lagi, hal tersebut penting diberi perhatian memandangkan keragaman ahli AMANAH yang pelbagai latar belakang terutama selepas PRU-14.

Raden Sorobo menerajui barisan Jawatankuasa AMANAH Kawasan Pontian dalam pemilihan baru-baru ini.