
Sehingga hari ini, tahap perkembangan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan pasca bencana banjir 4 Nov lalu oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencapai 95 peratus.
Justeru, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dauk Seri Farizan Darus berkata, mulai petang ini tiada lagi keperluan sokongan daripada jabatan-jabatan lain untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
“Setakat ini sudah 95 peratus lokasi banjir telah dibuat pembersihan, baki adalah di kawasan perkampungan di Parlimen Tasek Gelugor iaitu lokasi yang paling akhir air surut.
“Oleh itu, jabatan yang terlibat, yang membekalkan staf dan jentera, boleh kembali fokus pada tugas harian,” jelasnya di sidang media bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Komtar tengah hari tadi.
Hadir sama Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.
Farizan turut menjelaskan mengenai status Pusat Transit Sampah sementara yang telahpun ditutup dan masih dibuka sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).
Sementara itu, Guan Eng sekali lagi memberitahu limpahan air berlebihan daripada negeri Kedah, mengakibatkan beberapa kawasan di Seberang Perai termasuk Tasek Gelugor dilanda banjir, walaupun tiada lagi hujan lebat selepas hari kejadian bencana pada 4 Nov lalu.
“Air naik lebih tinggi seperti di Tasek Gelugor adalah kerana limpahan air, apabila Kedah banjir enam kaki, kita (Pulau Pinang) banjir 3 kaki,” jelasnya.