Malaysia Dateline

Kerja melombong pasir di Segari masih ada, NGO desak MB Perak campur tangan

Kerja melombong pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Segari masih diteruskan walaupun pihak berkuasa negeri sudah mengeluarkan arahan pemberhentian.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pihak terbabit tidak menghormati undang-undang meskipun tidak mempunyai kelulusan untuk melakukan sebarang aktvititi.

Beliau bimbang aktiviti di tanah berstatus tanah milik tersebut akan terus menjejaskan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) tahap satu.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, campur tangan serta mengambil tindakan lebih tegas berhubung isu tersebut.

“Kita berharap Menteri Besar dapat campur tangan supaya pihak jalankan aktiviti itu tidak berani lagi meneruskan kerja mereka.

“Kita harap ada tindakan tegas dalam isu ini dan pihak berkaitan dapat melakukan pemantauan 24 jam serta saya yakin aktiviti ini boleh dihentikan seperti contoh penanaman musang king secara haram di Raub, Pahang,” tegasnya.

Meor Razak berkata demikian pada sidang media di Pejabat Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) hari ini.

Untuk rekod, kawasan projek perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Segari, dekat Manjung itu adalah Hutan Simpan Dara yang sudah dinyahwartakan pada 1989.

Bagaimanapun, lokasi itu masih dihuni haiwan dilindungi dan spesies pokok terancam.

Justeru, Meor Razak turut mengingatkan aktiviti perlombongan pasir bercanggah dengan garis panduan pemuliharaan dan pembangunan kawasan sensitif alam sekitar untuk kawasan persisiran pantai dan rancangan fizikal zon persisiran pantai seperti terkandung dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN),

“Kita paling bimbang kalau mereka ‘bersihkan’ hutan asal. Kalau diikutkan (lokasi kerja) tidak sampai 500 meter (m) daripada pantai tapi mengikut garis panduan, aktiviti macam ini perlu 1,000 m daripada pantai,” tambah Meor Razak lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kuasa, Noor Ismady Ahmad Radzuan memberitahu Malaysia Dateline setakat pagi semalam, kerja melombong pasir di situ masih diteruskan meskipun sudah diarah untuk dihentikan.

Beliau dalam sidang media hari ini berkata, pihaknya bimbang tempat banyak penyu mendarat akan terganggu sekiranya kerja-kerja terbabit berdekatan muara Sungai Putu tidak dihentikan.

“Kita juga berharap pihak berkaitan segera mewartakan kawasan pendaratan penyu sebagai kawasan perlindungan.

“Mereka dakwa mahu mengelak kecurian atau penerokaan haram tetapi kerja ini (seperti meneruskan) untuk kerja awal,” kata Noor Ismady lagi.

Meor Razak Meor Abdul Rahman