Kerja pembantu rumah je tapi mampu menabung RM26,000 dalam tempoh dua tahun

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah mengejutkan pengikutnya di media sosial apabila memberitahu dia sudah menyimpan hampir 200,000 baht (RM26,000) selepas dua tahun dia bekerja walaupun gajinya kecil.

Kata wanita yang berusia 27 tahun itu, pendapatannya hanyalah sekitar 12,000 baht (RM1,600) sebulan dan ia bukan digunakan untuk dirinya sahaja tetapi juga untuk dua anaknya.

Portal berita MSNews melaporkan, kisah wanita berkenaan viral selepas dia memuat naik video di platform TikTok menceritakan cara dia menjimatkan wang walaupun berpendapatan rendah.

Setiap bulan, dia membelanjakan 3,500 baht (RM457) untuk sewa rumah, 1,000 baht (RM130) bagi membeli peralatan dan kos internet 300 baht (RM39). 

Selain itu, dia juga memperuntukkan 4,000 baht (RM522) untuk anak-anaknya.

Selepas menyelesaikan pelbagai perbelanjaan lain, wanita itu memperuntukkan kira-kira 2,000 baht (RM260) bagi kegunaan peribadi, manakala baki wang dimasukkan ke dalam simpanannya.

Ibu tersebut berkata, dia menjalani gaya hidup yang sangat berjimat demi masa depan anak-anaknya.

“Disebabkan mereka, saya perlu bekerja keras. Jika apa-apa berlaku kepada saya, sekurang-kurangnya mereka akan mempunyai simpanan ini,” katanya.

Baca juga: Wanita mengaku beli baju raya RM60 untuk suami, belanja RM400 buat diri sendiri