Malaysia Dateline

Kerjasama bipartisan redakan perebutan kuasa

Pendekatan kerjasama politik bipartisan dalam kerajaan dilihat mampu menyelesaikan kemelut politik di negara ini daripada berlarutan.

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi, berkata pelaksanaan kaedah itu akan meredakan perebutan kuasa parti-parti politik.

Beliau berkata, pendekatan tersebut membolehkan kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan keperluan rakyat dan negara seperti sosial, ekonomi, kesihatan mahu pun politik.

Menurutnya, pelaksanaan sistem terbabit juga penting bagi memastikan keutamaan kepada rakyat yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 tidak terjejas.

“Walau bagaimana pun terdapat impak yang harus diberi perhatian sekiranya bipartisan dilaksanakan oleh mana-mana parti politik.

“Sekiranya, kerajaan selepas ini salah atau tersilap langkah, maka ia akan dirujuk kepada seluruh parti yang menyertai gabungan tersebut.

“Seandainya berlaku perpecahan antara parti kerana gagalnya bipartisan ini, sudah tentu kesannya ialah persepsi rakyat kepada ahli politik akan amat negatif sekali,” katanya ketika dihubungi.

Dalam masa sama, jelas Dr Syakir, pendekatan bipartisan juga boleh mengundang masalah jika pemimpin banyak berpolitik.

“Akibatnya, rakyat di bawah juga akan berpolitik sehingga memberi tekanan besar dalam masyarakat ekoran permainan sentimen dan persepsi politik semata-mata,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerjasama politik bipartisan hanya akan berjaya jika turut diwujudkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) selain di Parlimen.