Malaysia Dateline

Kerjasama BN-PN: Mungkin, mustahil atau perangkap buat Ismail Sabri?

Di sebalik Pas telah membuat ketetapan akan menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka yang sekaligus bermaksud parti itu tidak akan menggunakan logonya sendiri dan secara tidak langsung menolak untuk bekerjasama dengan Umno, namun masih ada pihak yang mengharapkan akan wujud kerjasama antara BN dengan PN.

Umno sebelum ini berhasrat ingin meneruskan kerjasama dengan Pas serta berharap parti itu akan menggunakan logonya sendiri dalam PRN Melaka.

Tetapi, dengan Pas akan menggunakan lambang PN, sudah tentulah ia bermaksud parti itu hanya akan bekerjasama dengan Bersatu.

Dalam hal ini, sementara Umno kekal menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu, Pas pula makin merapatkan keintimannya dengan Bersatu.

Soalnya dalam kemelut ini, khususnya setelah Pas muktamad akan menggunakan lambang PN, bolehkah BN bekerjasama dengan PN?

Yang pertama, harus difahami bahawa BN ialah gabungan yang dianggotai parti-parti politik yang diterajui oleh Umno. Pengerusi BN ialah juga Presiden Umno iaitu Ahmad Zahid Hamidi.

Sama seperti BN, PN juga adalah gabungan parti-parti politik yang diterajui oleh Bersatu. Pengerusi PN ialah Presiden Bersatu iaitu Mahiaddin Md Yasin.

Bermakna, untuk memastikan kerjasama terbentuk antara BN dan PN, pertama sekali, kedua-dua peneraju gabungan itu mestilah ada keinginan untuk bersama dan sedia untuk bertolak ansur.

Adakah Zahid Hamidi dan Mahiaddin masing-masing mempunyai keinginan untuk bekerjasama?

Kalau Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno dan Mahiaddin Presiden Bersatu setiap masa lebih cenderung untuk membawa kedua-dua parti itu berbalah dan berpisah, bolehkah mereka sebagai Pengerusi BN dan Pengerusi PN untuk saling berdamai dan bekerjasama?

Tidakkah hasrat menginginkan kerjasama antara BN dan PN itu bermakna seperti mengharapkan permusuhan antara Umno dengan Bersatu boleh didamaikan?

Memang betul ada yang ingin melihat BN dan PN saling bekerjasama, tetapi mereka itu antaranya hanyalah daripada Pas dan kelompok kluster kabinet dalam Umno seperti Shahidan Kasim misalnya.

Sebaliknya, pemimpin utama dan tegar Umno kekal dengan hasrat menolak dan mahu melihat Bersatu “mati” begitu saja.

Bolehkah suara mereka yang mahu melihat BN dan PN bekerjasama itu mempengaruhi Presiden Umno dan Presiden Bersatu?

Lebih daripada itu, di ketika kedudukan Pengerusi BN dan Pengerusi PN amat penting dan diperlukan untuk membuat keputusan berhubung kemungkinan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno kini sedang berada di Jerman kerana menjalani pembedahan tulang belakangnya.

Jadi, bagaimana rundingan hendak dijalankan?

Meskipun dalam kes ini ada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang diberi mandat oleh MT untuk mengetuai rundingan dengan parti-parti dalam kerajaan bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Melaka, hakikatnya kedudukan beliau dalam parti amat terhad.

Ismail Sabri adalah Perdana Menteri yang bukan Pengerusi BN dan bukan juga Presiden Umno. Dengan itu, walau sebagai Perdana Menteri, kuasa beliau dalam BN dan Umno tidak dapat mengatasi kedudukan serta kuasa Zahid Hamidi.

Bolehkah Ismail Sabri berjaya dalam misi rundingannya atau beliau sebenarnya sedang’diperangkap’ oleh Zahid Hamidi dengan diberikan tugas yang tidak mungkin berjaya dilakukannya dengan sempurna?

Seterusnya, adakah dengan kegagalan misi rundingan itu, lebih-lebih lagi jika BN kecundang dalam PRN Melaka nanti, semuanya akan memungkinkan Ismail Sabri bukan lagi calon Perdana Menteri pilihan Umno dan BN dalam PRU15 akan datang?