Malaysia Dateline

Kerjasama dengan Umno: ‘Bina mahligai pasir yang mudah hancur dihempas ombak’

Sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang menolak kerjasama dengan Umno susulan perbincangan awal Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beberapa pimpinan parti komponen utama Barisan Nasional (BN) itu.

Empat wakil rakyat terbabit mengingatkan sebarang kerjasama yang mahu diusahakan mesti bermula dengan perkara yang paling asas iaitu mempunyai agenda perjuangan yang sama dan kesungguhan untuk melakukan reformasi.

“Kerjasama yang mahu dibina mesti mempunyai satu cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama agar ianya dapat bertahan lebih lama.

“Kami percaya bukan sahaja kluster mahkamah, malah kepimpinan Umno hari ini dilihat tidak memiliki cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama yang kita perlukan untuk membina semula negara ini,” tegas mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ahli Parlimen terbabit ialah Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq (Muar), Hannah Yeoh (Segambut) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Mereka mahu blok pembangkang terus mara ke hadapan selepas setahun pengkhianatan Langkah Sheraton memandangkan banyak masa dibazirkan dengan isu berhubung bilangan Ahli Parlimen dan calon Perdana Menteri.

“Kita tidak pernah kekurangan bakat dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Sehubungan itu, kumpulan Ahli Parlimen mahu pimpinan pembangkang untuk terus fokus menawarkan polisi yang boleh memenangi hati dan keyakinan rakyat Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Mendapatkan semula Putrajaya melalui jalan pembinaan mahligai pasir yang besar dan cantik dipandang tetapi mudah hancur dihempas ombak adalah satu lagi tindakan sia-sia.

“Sebagai Ahli Parlimen, kami mahu membina semula negara ini dengan asas yang betul kerana tanpa asas yang betul ia pasti akan runtuh,” tegas mereka lagi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia, 14 Mac lalu, mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara PKR dan Umno.

Bekas Timbalan Perdana Menteri era kerajaan BN itu memberitahu perbincangan awal tersebut melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

Susulan itu, lima pemimpin parti pembangkang menyeru agar Anwar untuk sama sekali tidak bermuafakat dengan kleptokrat ketika menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).