Malaysia Dateline

Kerjasama dengan Umno jika tidak cukup kerusi bentuk kerajaan

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menjelaskan kerjasama dengan Umno atau mana-mana parti hanya berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, hal tersebut berlaku sekiranya tidak mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Katakan sebagai contoh, dengan tiga kumpulan utama, kalau Pakatan Harapan (PH) mendapat 100 kerusi Parlimen manakala Umno-BN katakan dapat dalam 70 kerusi dan PN pula dapat 52 kerusi Parlimen.

“Jadi tiada mana-mana pihak yang mampu untuk membentuk kerajaan kerana tidak cukup kerusi.

“Dalam keadaan itu kita tidak akan benarkan kerajaan tidak dapat dibentuk. Itulah konteks kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub,” ujarnya.

Khalid berkata demikian dalam bual bicara bertajuk, “Kerjasama dengan Umno: Wajar atau tidak?” secara langsung menerusi Facebook The Perspektif sebentar tadi.

Baru-baru ini, Salahuddin dilapor berkata, AMANAH sedia untuk mempertimbangkan kerjasama politik dengan mana-mana parti termasuk Umno selepas PRU-15 dengan persetujuan rakan parti komponen PH.

Rakan dominan

Mengulas lanjut, Khalid berkata, akan ada rundingan dengan mana-mana parti yang dominan dalam apa jua gabungan serta syarat-syarat kerjasama membabitkan kedua-dua pihak.

“Sekiranya kita tidak mempunyai kerusi yang mencukupi tetapi kita mempunyai kerusi yang banyak yang boleh jadi rakan dominan dalam apa jua gabungan, kita mungkin terpaksa memikirkan satu kaedah untuk kita membentuk kerajaan bukan pihak lain.

“Akhirnya, kita mesti membentuk kerajaan dengan kita menjadi rakan utama. Maka, kita boleh tentukan dasar-dasar dari segi kebertanggungjawaban, ketelusan dan keadilan.

“Kita perlu membentuk kerajaan untuk menentukan dasar-dasar yang lebih baik dan adil akan dapat dilaksanakan,” ujarnya dalam forum dimoderatorkan Muammar Qaddafi.

Bagaimanapun, kata Khalid, kerjasama itu tidak perlu sekiranya sudah mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat.

“Kalau ada kerusi mencukupi, kita akan bentuk kerajaan. Maka tidak perlu kita bekerjasama dengan pihak yang menjadi lawan atau persaingan kita dalam PRU-15,” tambahnya lagi.