Kerjasama Mahathir-pembangkang akan kukuhkan Najib, kata pemimpin Umno

Kerjasama Mahathir-pembangkang akan kukuhkan Najib, kata pemimpin Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan dan pemimpin Umno membidas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bekerjasama dengan pembangkang untuk menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur.

Seorang jurucakap kerajaan berkata Dr Mahathir dan bekas seterunya “telah mempamerkan keadaan terdesak dan sikap oportunis yang begitu tebal dalam politik.”

Bekas perdana menteri itu mengetuai kumpulan lebih 50 orang – termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR – dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri “menerusi kaedah tanpa kekerasan dan dibenarkan secara sah”.

Penandatanganan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang langkah untuk menyingkirkan perdana menteri di luar proses demokratik adalah tidak sah.

Beliau berkata Malaysia mempunyai sistem undang-undang dan demokrasinya sendiri dalam memilih perdana menteri.

“Undang-undang harus dipatuhi dan sistem demokrasi yang sama kita dakapi harus terus hormati,” katanya kepada pemberita di Jasin, Melaka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pakatan anti-Najib antara Dr Mahathir dengan pemimpin pembangkang mengalami kegagalan sebaik sahaja ia dimulakan.

Usaha mereka untuk menggulingkan Najib telah gagal dan penandatanganan deklarasi itu hanyalah “langkah untuk menyelamatkan air muka mereka,” katanya dalam catatan menerusi blog.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tindakan tersebut sebaliknya mengukuhkan lagi kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

“Bekerjasama dengan musuh ketat Umno hanya akan memperkukuhkan lagi kedudukan PM dalam Umno, saya berterima kasih kepada Tun (Dr Mahathir),” katanya melalui akaun twitter hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata dalam situasi sekarang, semua pihak haruslah bertenang serta memberi fokus kepada keutamaan isu seperti peningkatan ekonomi dan keselamatan serta perpaduan negara.

“Jika terus menuding jari menyalahkan sesama sendiri serta berkata buruk terhadap sesuatu perkara, apa juga isu yang ingin kita majukan tidak akan dapat terlaksana kerana meskipun berbeza pendapat, berbalah bukan solusinya.

“Membina sebuah negara itu perlukan sokongan antara satu sama lain, maka kita perlu bersikap matang dalam menyelesaikan masalah serta berbincang,” katanya kepada pemberita di Kangar, Perlis.

TAGS