Kerjasama Pas-PKR: JK Pusat akan buat keputusan

Kerjasama Pas-PKR: JK Pusat akan buat keputusan

Keputusan akhir mengenai tahaluf siyasi Pas dengan PKR akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pas Pusat, kata ahli Majlis Syura Ulamak Pas , Idris Ahmad.

Beliau berkata, majlis syura hanya membuat keputusan berdasarkan hukum selepas sesuatu usul itu diterima di peringkat muktamar.

“Selepas majlis dapat keputusan, ia akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat untuk menentukan sama ada mahu melaksanakan keputusan itu ataupun tidak.

“Ini kerana Jawatankuasa Pas Pusat menguruskan dari aspek strategi politik, manakala majlis pula buat keputusan berdasarkan hukum,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Muktamar Tahunan Pas ke-63 minggu lalu menerima usul bagi memutuskan tahaluf siyasi antara Pas dengan PKR tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak berdasarkan perlembagaan Pas.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Naib Presiden Pas, Jawatankuasa Pas Pusat dua tahun lalu telah bersetuju memutuskan hubungan dengan DAP setelah mendapat keputusan hasil kajian daripada majlis itu.

Katanya, proses memutuskan hubungan dengan PKR dijangka mengambil sedikit masa sama seperti dilakukan ke atas DAP sebelum ini.

Sementara itu katanya, Majlis Syura Ulamak belum menetapkan tarikh untuk bermesyuarat bagi membincangkan mengenai kerjasama politik antara parti Islam itu dengan PKR.

Dalam pada itu, tindakan Pas Selangor yang tidak konsisten dengan keputusan Pas Pusat disindir ahli Parlimen Sepang dari Amanah, Hanipa Maidin.

Menulis di Facebooknya, Hanipa berkata, amat letih apabila hidup berpura-pura dengan memberikan layanan yang baik di hadapan orang yang pernah dikecam.

“Saya hanya boleh bayangkan sahaja betapa letih dan peritnya hidup berpura-pura.

“Contohnya beberapa hari kita hentam dan belasah kawan kita ‘kaw kaw’ lepas tu kita tersengih-sengih pula bergambar dengan kawan kita yang kita hentam dan belasah ‘kaw kaw’ tu…sekadar contohlah,” tulis beliau.

Beliau menulis demikian dipercayai merujuk kepada tindakan Adun dan Exco Pas Selangor yang menyambut ketibaan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, antaranya Exco Infrastruktur,Kemudahan Awam, Industri Asas Tani Zaidy Abdul Talib dan Adun Meru Dr Rani Othman.

COMMENTS

Wordpress (0)