Kerjasama Pas-Umno: Ahli Pas diseru bertawaqquf jalan terbaik

Kerjasama Pas-Umno: Ahli Pas diseru bertawaqquf jalan terbaik

Ahli Pas diseru agar bertawaqquf (berdiam diri) sekiranya tidak sehaluan dengan kepimpinan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang setelah parti itu menjalinkan kerjasama politik dengan Umno yang cenderung kepada satu kaum sahaja.

Penasihat Umum AMANAH Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang berkata, jika ahli Pas sayangkan parti Islam itu tawaqquf adalah jalan terbaik.

“Pada ahli Pas jika betul mereka sayangkan Parti Islam Semalaysia (Pas) itu, buat sementara ini anda bertawaqquf daripada menyokong kepimpinan sekarang.

“Jika membantah tidak boleh menang, mungkin anda kena pecat.Jika sokong akan membawa rebah maknanya anda tidak sayang kepada parti yang telah berdaftar sebagai parti politik Islam itu,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai kecenderungan politik Asabiyah Pas dan Umno bekerjasama dalam memperjuangkan agenda Islam dan Melayu.

Beliau, berkata dalam Islam Nabi Muhammad saw menentang kuat fahaman Asabiyah iaitu kesetiaan dan walak kepada pemimpin dan kaum tertentu.

“Nabi samakan orang walak atau taksub kepada pemimpin seperti orang yang menjadikan pemimpin mereka sebagai rahib-rahib yang disembah. kerana apa yang ducapkan rahib itu dianggap sebagai firman Tuhan.

“Padahal ucapan rahib itu tiada kena mengena dengan wahyu yang diturunkan Tuhan. Mereka mentaati kata-kata rahib sebagai perintah Tuhan.

“Sangat besar kesalahan dari segi akidah Islam seolah menyekutukan Allah terlalu setia dan walak kepada pemimpin,” ujarnya.

Kata Ustaz Ahmad lagi, di awal penubuhan Pas, parti itu memperjuangkan nasib orang Melayu dan tidak cenderung kepada politik perkauman kerana dasar perjuangnya kepada Islam semata-mata.

Sebaliknya hari ini dasar perjuangan Pas sudah beralih kepada perjuangan bangsa Melayu dan Islam.

“Tidak hairanlah jika Presiden Pas pernah berkata hanya Pas, Umno dan Bersatu parti Melayu dan Islam , bukan PKR dan PAN seperti yang disebut Abdul Hadi.

“Jadi sekarang ini kita (AMANAH) mengelarkan ‘No-Pas’ kerana Pas tidak lagi sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam. Acuan Islam Pas sudah lebur hari ini Pas masuk acuan Melayu yang diketuai Umno.

“Saya sayang pada Pas sebagai parti politik Islam.Tetapi hari ini perjuangan Pas sebagai parti Islam sudah tengelam dan sudah jadi parti Melayu..seolah-olah pemimpin Pas sendiri telah mentalkin parti itu,” ujar bekas Naib Presiden Pas ini.

Dengan perkembangan terkini kerjasama Pas-Umno itu, beliau yakin Pas mengharapkan satu gabungan yang mantap dalam kerjasama kedua-dua parti itu akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Justeru beliau melihat perjuangan Pas kearah politik Asabiyah yang lebih kepada perjuangan kaum dan taksub pemimpin memaksa ahli akar umbi parti itu menerima keputusan pemimpin mereka.

“Kerana pemimpin yang taksub politik maka orang bawah terpaksa terima semua.

“Dulu dicanangkan wajib mendokong perjuangan dalam Pakatan Rakyat (PR) memenangkan DAP walaupun DAP menentang hudud kerana DAP dikatakan kafir harbi.

“Hari ini Pas menolak DAP tetapi boleh menerima MCA atas alasan DAP tentang hudud dan Pas, sebaliknyai MCA hanya menentang hudud tidak menentang Pas.

“Jadi ini menunjukan parti politik lebih tinggi kedudukannya daripada agama, maka jelas hari ini tenggelamlah perjuangan Islam Pas itu,” ujarnya.

Pada 5 Mac lalu Pas dan Umno mengesahkan kedua-dua parti menjalin kerjasama secara rasmi dalam usaha menyatukan ummah di negara ini.

Pengumuman mengenai kerjasama itu dibuat bersama oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas delegasi kedua-dua parti itu selesai berbincang mengenai halatuju kerjasama dalam satu mesyuarat di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.