Kerjasama Pas-Umno di Semenyih akan dilanjutkan di Rantau

Kerjasama Pas-Umno di Semenyih akan dilanjutkan di Rantau

Pas akan memperbaiki tahap kerjasama dengan Umno yang terjalin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih untuk langkah seterusnya di Rantau, Negeri Sembilan.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kerjasama mereka diyakini akan lebih serasi pada masa akan datang.

“Keputusan di Semenyih menunjukkan betapa kerjasama antara Umno dan Pas itu baik. Mungkin pada tahap awal dalam siri PRK lalu tiada keserasian.

“Kali ini kita nampak keadaan semakin baik. InsyaAllah kerjasama ini bertambah baik dari semasa ke semasa. Kita akan perbaiki lagi kerjasama dalam PRK Dun Rantau nanti,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline sejurus pengumuman keputusan PRK N.24 di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang malam tadi.

Khairul Faizi Ahmad Kamil

Menurutnya, formula kerjasama Pas-Umno itu disifatkan berjaya kerana berasaskan Islam.

“Apapun, Islam mesti diletakkan sebagai perkara utama dalam kerjasama Pas dan Umno ini.

“Nampaknya kerjasama ini semakin baik dan ada perubahan yang kita dapat lihat pada gerak kerja Umno sendiri apabila mereka bersama dengan Pas,” ujarnya.

Ditanya tentang kesan isu Sarawak Report terhadap Pas, Khairul Faizi berkata, rakyat akhirnya dapat menilai hal tersebut tidak menjejaskan Pas.

“Dari hari ke hari terdapat beberapa perkara yang kita lihat ada kepincangan di situ. Semakin lama pengundi sendiri dapat menilai apabila terlalu banyak isu ditekankan sehingga fokus lari pula kepada Pas.

“Itu mungkin untuk melemahkan penyokong Pas terhadap kepimpinan parti,” tambahnya lagi.

Turut hadir memberi sokongan kepada calon BN semasa pengumuman keputusan PRK Dun Semenyih semalam ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dan Yang Dipertua Pas Kawasan Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat.

Beberapa pemimpin Pas meraikan kejayaan calon BN pada pengumuman keputusan PRK Dun Semenyih malam tadi.