Malaysia Dateline

Kerjasama pemain industri makanan laksana kempen tukar penyedut minuman plastik kepada alternatif

Usaha ke arah kempen kesedaran kepada rakyat peri pentingnya menukar penggunaan penyedut minuman ( straw) plastik kepada penyedut minuman alternatif biodiversiti adalah tanggungjawab pemain industri makanan dalam melaksanakan kempen kesedaran di kalangan masyarakat pengguna.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, tahun 2019 sebagai tahun kempen kepada  semua pengendali restoran dan kedai makanan beralih kepada penggunaan penyedut minuman alternatif di premis masing-masing.

“Tahun ini kita beri alternatif kepada pengendali (kedai dan restoran makanan) kerana tiada penguatkuasaan lagi kerana tahun ini tahun kempen mengharamkan penggunaan straw plastik dan memperkenalkan straw alternatif seperti straw kertas.

“Tetapi ada pihak yang sibuk mempersoalkan pengharaman straw plastik tanpa mereka sedar tabiat melupuskan straw plastik di perparitan, sungai dan laut akan memberi kesan kepada alam sekitar,” ujarnya.

Amir Malik tiga dari kiri bersama kakitangan dan pelanggan D8217 Tandoor menunjukkan penyedut minuman kertas yang digunakan di restoran berkenaan

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis ‘Last Straw  Campaign’ oleh pengusaha restoran makanan terkemuka tanahair  D’Tandoor di Putrajaya semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu Ketua Pegawai Eksekutif D’Tadoor Food Industri Sdn Bhd Datuk Abdul Malik Abdullah dan Pengarah Urusan Al-Malik Catering Sdn Bhd Amir Malik.

Menurut Khalid lagi walaupun sudah ada pengusaha kedai dan restoran  makanan yang mengunakan penyedut minuman alternatif tetapi  pengunaannya tidak begitu popular berbanding penyedut minuman  plastik.

“Oleh itu penting kita menanamkan kesedaran kepada pengguna dan  pengusaha untuk beralih kepada penggunaan straw kertas.

“Walaupun ia bukan dapat menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar, namun dengan usaha berterusan pengusaha untuk menyedarkan orang ramai kepada kebaikan penggunaan straw kertas akan  memberikan kesan yang baik kepada generasi akan datang dan  pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya yang menghargai usaha dilakukan D’ Tandoor untuk  menyahut seruan kementerian itu disemua cawangannya di dalam dan luar negara.

Dalam majlis sama Amir Malek berkata, beliau mendapat ide untuk mengadakan kempen ini selepas melawat ke pulau pelancongan di Bali, Indonesia yang mengusahakan industri pengilangan dan pengeksportan penyedut minuman kertas terbesar di Asia.

“Bertepatan dengan kempen kerajaan untuk mengharamkan penggunaan straw plastik, saya terpanggil untuk mengembangkan ide ini dengan  mengambil inisiatif mengunakan straw kertas di semua cawangan  restoran kami.

“Saya melihat Bali jauh lebih ke hadapan dalam memupuk kesedaran penjagaan dan pemuliharaan ekosistem dunia, saya terpanggil untuk menyarankan kepada syarikat agar kami perkenalkan penggunaan straw kertas  kepada pelanggan kami.

“Kita cuba menjadi sebuah negara yang bebas daripada penggunaan plastik sama ada straw atau beg plastik .Kita juga akan beralih kepada penggunaan beg kertas tidak lama lagi,” ujarnya.

D’Tandoor mempunyai 6 cawangan di Putrajaya, Subang Jaya, Damansara Utama, Kuala Lumpur, Butterworth dan Pulau Pinang manakala di luar negara D’Tandoor melebarkan perniagaannya ke Australia, New Zealand, Arab Saudi dan Cambodia.

Di majlis sama D’ Tandoor juga memperkenalkan menu masakan terbaru yang dinamakan Jhenga Machhalee Tandoori Lobster yang diilhamkan dari resepi India Utara yang akan menjadi hidangan popular di restoran tempatan  bertaraf antarabangsa yang telah beroperasi sejak 1993 itu.

Menu terkini Jhenga Machhalee Tandoori Lobster yang hanya boleh dinikmati di semua cawangan restoran D8217 Tandoor