Kerjasama pembangkang mustahil selagi Pas-Amanah tidak semeja.

Kerjasama pembangkang mustahil selagi Pas-Amanah tidak semeja.

Kenyataan mengesa kerjasama politik antara parti pembangkang tidak putus dikeluarkan oleh setiap parti samada dari Pakatan Harapan mahupun Pas. Setiap pihak maklum bahawa tiga penjuru hanya akan memberi kelebihan kepada Umno Barisan Nasional walaupun Pas pernah mendakwa mereka lebih kuat bersendirian.

Pun begitu, untuk merealisasikan idea ini adalah mustahil selagi mana Pas berkeras untuk menentang Amanah dan lebih bermain emosi apabila melibatkan Amanah. Setiap kali usul kerjasama politik disebut Pas sentiasa menolak untuk bertolak ansur dalam perihal pembahagian kerusi dengan Amanah sedangkan mereka berkongsi sasaran yang sama iaitu kelompok melayu Islam.

Pas dilihat lebih mementingkan ego mereka bila berurusan dengan Amanah seolah jika mereka berunding dengan Amanah maka itu kiamat besar buat Pas, jadi besar persoalan untuk kita tanya kepada Pas, apakah ego kamu dan kepentingan parti sendiri lebih besar ataupun menyelamatkan Malaysia dari pemimpin yang korup dan salah guna kuasa ini?

Pas dilihat enggan menyerahkan mana mana kerusi yang pernah ditandinginya walaupun peluang Pas untuk menang dikerusi itu tipis sekali. Mereka lebih gemar mengira berapa banyak undi mereka mampu tambah setelah putus tahaluf dengan rakan Pakatan dan tidak pula terfikir untuk mengira jumlah undi yang bakal mereka hilang diatas sebab yang sama.

Keangkuhan dan kesombongan Pas ini jelas membawa mudarat besar kepada Malaysia. Lebih parah apabila mutakhir ini Pas dilihat lebih mesra pemerintah yang korup ini berbanding membawa suara yang sealiran dengan parti pembangkang lain, langkah ini dihalalkan dengan menggunakan konsep *Politik Matang”, cuma sayangnya “matang” seumpama ini tidak lain hanyalah akan memberi tongkat kepada Umno sahaja.

Asbab keangkuhan ini, parti dalam Pakatan harus sudah maklum bahawa kerjasama politik dengan Pas adalah mustahil untuk dicapai lagi. Pakatan seharusnya menfokuskan untuk perkukuh gabungan mereka dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa merekalah yang paling layak mentadbir Malaysia.

Terus menerus membayangkan Pas akan duduk semeja dan berunding dengan Pakatan adalah sesuatu yang sia sia kerana Pas tidak akan menyerahkan kerusi yang mereka pernah tandingi sebelum ini kepada AMANAH walaupun dikerusi yang mana AMANAH memiliki potensi untuk menang yang lebih tinggi terutamanya dikawasan melayu di bandar dan kawasan yang memiliki jumlah undi cina yang mampu pengaruhi jumlah undi walaupun di kawasan majoriti melayu.