Kerjasama PKR-Pas: Azmin tunggu keputusan Majlis Syura Ulama

Kerjasama PKR-Pas: Azmin tunggu keputusan Majlis Syura Ulama

 

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  mahu sebarang keputusan berhubung kerjasama PKR dengan Pas di Selangor hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini.

Timbalan Presiden PKR  itu berkata, yang paling penting kini ialah meneruskan tugas masing-masing dalam memberi khidmat kepada rakyat negeri itu sendiri.

“Jangan buat spekulasi, seperti dinyatakan Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Presiden Keadilan, kita akan menghormati keputusan daripada Majlis Syura Pas.

“Sekarang kita tunggu keputusan Majlis Syura Pas. Kerajaan terbentuk berdasarkan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ia bukan kepartian,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Justeru kerjasama PKR-PAS di Selangor akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang demi mengekalkan komposisi pentadbiran negeri itu.

Jelas Menteri Besar Selangor itu lagi, tiada perubahan dalam kabinet kerajaan negeri Selangor akan dibuat sehingga penggal berakhir.

“Kerajaan terbentuk berdasarkan sokongan majoriti ahli dewan, bukan kepartian. Jadi kita ada 43 Dun yang dibentuk hasil sokongan dan mandat rakyat. Ini tugas, tanggungjawab saya untuk menjaga amanah diberi rakyat bukan saya yang buat pilihan.

“Dalam penggal ini rakyat pilih kita untuk bekerja bukan untuk bergaduh.

“Jadi bila rakyat suruh kita kerja kita mesti tunduk. Bekerja untuk rakyat,” katanya.

Azmin sebelumnya, memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri itu akan kekal stabil dan utuh demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

“Kita ‘persetankan’ yang mabuk mencari publisti dan populariti murahan, mana-mana pihak temasuk individu atau kumpulan, yang cuba khianati amanah ini akan kita perangi habis-habisan dalam negeri Selangor,” ujarnya.

“Kita akan terus fokus menggalas amanah ini, demi memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Pas telah memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor manakala PKR telah memenangi 13 kerusi.

Dewan Pemuda Pas sebelum ini meluluskan usul sebulat suara untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR agar dibahaskan di peringkat Muktamar Pas Pusat.

Usul tersebut dibawa oleh Dewan Pemuda Pas Terengganu tidak menerima apa-apa bantahan daripada perwakilan yang menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Pas Kedah.

COMMENTS

Wordpress (0)