Kerjasama politik mesti atas asas keadilan

Kerjasama politik mesti atas asas keadilan

Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, semua aktiviti politik yang berkehendakkan keadilan tertegak termasuk kerjasama politik mesti bersetuju atas asas menegakkan keadilan. Jikalau asas ini tiada maka segala persefahaman politik tidak akan mempunyai apa-apa makna.

Pakatan Harapan (PH) katanya telah menandatangani satu perjanjian pada tahun 13 Dis 2016 di mana keempat parti bersetuju atas tujuh perkara.

“Dua perkara pertama melambangkan asas keadilan di mana memelihara Perlembagaan Persekutuan dan Reformasi Institusi merupakan tujuan utama kenapa PH diasaskan.

“Lima perkara yang lain adalah teknikaliti tentang komitmen kesepakatan komponen parti dalam PH. PH adalah evolusi kepada PR di mana parti AMANAH alhamdulillah merupakan pemangkin kepada lahirnya PH setelah PR berkubur pada hujung tahun 2014,” katanya dalam ucaptama Nadwah Ulama Nahdhah Al Jadidah (NUNJI) 2017, Wacana Tahaluf Siasi Perspektif Malaysia di Bangi pagi tadi.

Latar belakang politik negara sejak awal 2000 katanya, memperlihatkan kebangkitan suara tidak puas hati dan politik reformasi mula menguasai pengundi.

“Penguasaan BN selama beberapa dekad adalah hasil dari demokrasi tempang termasuk sistem pilihan raya yang berat sebelah. Atas kesedaran ini, persefahaman parti-parti dalam PH adalah untuk memastikan asas keadilan ini tertegak termasuk kebobrokan rasuah.

“Tahaluf atau kerjasama politik adalah sesuatu yang berkembang dan bukan sesuatu yang kaku. Panduan daripada penulisan akademik adalah secara asasnya memberikan ketenangan hujah bahawa kerjasama politik ada kewajarannya secara syarie. Ia amat penting agar penggerak parti berada pada kejelasan dalam gerak kerjanya.

“Namun seni tahaluf perlu kepada pengamalnya memupuk, membina dan mematangkannya sehingga asas menegakkan keadilan tercapai.

“Dalam konteks ini, Tahaluf memerlukan rundingan berpanjangan dalam mencapai konsensus. Ia bukan sahaja tentang falsafah tetapi secara praktikalnya ialah persefahaman di medan, konsensus manifesto, gerak kerja pilihan raya bersama dan paling sukar ialah pembahagian kerusi supaya tidak berlaku pertindihan tuntutan.

Antara orang ramai yang menghadiri program NUNJI 2017 di Bangi pagi tadi.

“Tahaluf tidak terlaksana tanpa kesediaan untuk ‘give and take’ dan seni ini tidak akan tertulis dalam mana-mana buku akademik. Bersedialah untuk mempelajarinya di medan,” jelasnya dalam program anjuran AMANAH Selangor dan Wilayah Persekutuan itu.

Antara pengajaran Tahaluf kata Mujahid, ialah isu mempersadakan Islam dan tidak merugikan Islam. Ini adalah kenyataan yang terbuka untuk dibahaskan atas beberapa hujah antaranya; Apakah maksud persadakan Islam dan merugikan Islam? Ada yang beranggapan rugi Islam apabila hudud ditolak dan Islam dihina lantas yang dimaksudkan menang Islam ialah hudud tertegak.

“AMANAH punya visi Islam Rahmatan lil Alamin, Islam yang dilandasi AMANAH adalah mencapai Maqasid sesebuah negara¬†iaitu menegakkan keadilan.

“Keadilan pula mesti melibatkan kesejahteraan rakyat dan keselesaan hidup. Untuk mencapai tujuan tersebut sebuah kerajaan yang adil, tidak rasuah dan tidak prejudis kaum dan agama perlu ditegakkan kerana Islam ditegakkan atas tujuan tersebut.

“AMANAH memaklumkan kepada semua bahawa negara yang diperjuangkan ialah “sebuah negara madani berlandaskan prinsip demokrasi”.

“AMANAH menghormati prinsip demokrasi dan tertumpu kepada mengisi nilai-nilai keadilan dalam semua landasan pemerintahan. Selagi kerjasama ini terbina atas mencapai maksud di atas dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Perundangan dan Rukun Negara maka AMANAH akan terus memperkukuhkan kerjasama ini sehingga kita diberi amanah oleh rakyat untuk memerintah Malaysia.

Menurut Mujahid, beliau yakin NUNJI 2017 dapat merungkaikan berbagai aspek falsafi, operasi dan cabaran-cabaran.

 

 

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote