Kerjasama politik Pakatan Harapan Kelantan ke akar umbi

Kerjasama politik Pakatan Harapan Kelantan ke akar umbi

Parti-parti dalam Pakatan Harapan di Kelantan menyambut baik keputusan untuk mendaftarkan gabungan itu sebagai pakatan rasmi dan bakal menggunakan satu logo dan satu manifesto dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Kita bersyukur kerana dapat memulakan gerak kerja bersama ini di Jeli,” kata Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Ustaz Muhammad Hussin.

Beliau berkata demikian di majlis dialog anjuran bersama Amanah, Keadilan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Batu Melintang, dekat sini, baru-baru ini.

Keputusan PPBM untuk menyertai Pakatan Harapan katanya amat menepati keperluan rakyat yang ingin melihat sebuah kerajaan baru dapat dibentuk selepas pilihan raya nanti.

“Majoriti rakyat sebenarnya tertunggu-tunggu keputusan ini dan kita yakin sambutan besar-besaran akan berlaku di seluruh negara.

“Di Kelantan, kita tidak menghadapi sebarang masalah kerana semua gerak kerja yang telah dijalankan sebelum ini telah digerakkan secara bersama,” katanya.

Beliau melahirkan kesyukuran kerana kini PPBM telah melepasi satu fasa penubuhan dengan organisasi semua peringkat telah dilengkapkan.

“Kita gembira kerana sekarang bila mahu berunding dengan PPBM telah jelas siapa pemimpinnya di peringkat negeri mahupun bahagian-bahagian di seluruh Kelantan.

“Di Jeli ini, saya berterima kasih kepada Dr Aminuddin Yaacob yang terus bersetuju untuk bergerak bersama dan program pertama malam ini jelas menampakkan kejayaan,” katanya.

Program dialog peringkat parlimen Jeli itu diadakan di kediaman aktivis PPBM dan dihadiri pemimpin-pemimpin tempatan dari semua parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Ketua PPBM Bahagian Jeli Dr Aminuddin Yaacob ketika berucap di majlis itu melahirkan rasa terkejut kerana tidak menyangka sambutan yang begitu baik diberikan oleh penduduk setempat.

“Terus terang saya katakan, saya belum bersedia untuk mengajak sesiapapun menyertai PPBM.

“Pelantikan saya inipun di luar dugaan saya dan kehadiran begini ramai malam ini sungguh membuat saya terharu,” katanya.

Berkenaan kerjasama antara parti-parti, beliau menyambut baik cadangan Amanah untuk turun bersama sebagai satu pasukan.

“Sebagai bekas orang BN saya cukup sedar kekuatan mereka dan percubaan untuk melawan BN tidak boleh dibuat sambil lewa jika kita mahu berjaya.

“Tentulah antara kunci kejayaan ialah kerjasama dan bantu membantu,” katanya.

Kawasan Jeli menurut beliau, memang kawasan utama bagi BN kerana di sinilah Ketua Perhubungan Umno negeri Datuk Mustapha Mohamed menjadi wakil rakyat.

“Saya tidak mahu mendabik dada sewenang-wenangnya kerana amat sedar kita bergerak tanpa kekuatan kewangan dan jentera kerajaan seperti mereka.

“Apapun, mengenangkan azam rakyat yang ditindas begini rupa oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Insya Allah saya bersedia menghadapi apa jua rintangan.

“Kalau Tun Mahathir yang telah begitu lanjut usia sanggup turun padang, tidak wajar kita berpangku tangan,” katanya.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan, Ketua Pemuda Armada Kelantan Asran Alias, Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Amanah Kelantan Hafiz Musa, Ketua Wanita Amanah (Awan) Kelantan Normala Mohd Nadzar dan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Jeli Ayu Abdullah.

TAGS