Malaysia Dateline

Kerjasama Umno-Bersatu dalam PRN Melaka ranapkan kepimpinan Zahid Hamidi?

Menjelang PRN Melaka pada 20 November depan, dimulai oleh Shahidan Kassim yang menggerakkan langkah agar Umno bekerjasama dengan Pas dan Bersatu menghadapi pilihanraya itu, kini sekurang-kurangnya dua lagi menteri tampil bersuara dengan nada yang sama.

Shahidan bukan setakat menulis di laman FBnya berkenaan perkara itu, malah dalam perasmian berkelompok persidangan tahunan Umno cawangan-cawangan dalam bahagian Arau baru-baru ini telah meletakkan bendera Bersatu bersebelahan dengan bendera Umno.

Perlakuan beraninya itu seolah-olah mencabar Umno yang telah terikat dengan ketetapan tiada kerjasama dengan Bersatu.

Dalam hantaran terbaharu di media sosial oleh Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa, kedua-duanya secara langsung dan tidak langsung menekankan perlunya Umno bekerjasama dengan Pas dan juga Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

Shahidan ketika ini ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Hishammuddin merupakan Menteri Pertahanan dan Annuar adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Malah, Hishammuddin yang dalam postingnya mengatakan kerjasama politik di peringkat negeri wajar selari dengan pusat seperti menyetujui kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin yang juga bercakap dengan fakta yang sama.

Hamzah dipetik sebagai berkata, formula kerjasama di pusat adalah pilihan yang boleh dipraktikkan di Melaka bagi mengelak pertembungan sesama sendiri.

Ketiga-tiga pemimpin Umno di atas adalah kelompok kluster menteri yang memang diketahui pro kepada Bersatu sejak era kerajaan PN lagi.

Jika dalam kepimpinan Mahiaddin Md Yasin, hanya Shahidan dan Annuar yang berani bercakap secara terbuka mengenai kerjasama itu, khususnya dengan Bersatu, nampaknya kini Hishammuddin pun sudah mula berani menunjukkan warna dirinya yang sebenar.

Apakah ini tanda-tanda beliau mahu bertanding jawatan penting dalam pemilihan Umno akan datang setelah memilih tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan 2018 lalu?

Apakah tindakan Hishammuddin ini juga merupakan permulaan kepada bakal munculnya suara-suara ganas beberapa kluster menteri lagi selepas ini yang akan turut bercakap perlunya Umno bekerjasama dengan Pas dan juga Bersatu?

Lupakah mereka tentang ketetapan Perhimpunan Agung Umno berkenaan putus hubungan dengan Bersatu?
Apakah mereka ini sudah tidak hormat lagi kepada keputusan akar umbi Umno melalui PAU yang membuat ketetapan sedemikian?

Dalam hal ini, jika lebih ramai kluster menteri bersuara perlunya Umno bekerjasama dengan Bersatu, selain dengan Pas, yang mana ia dengan sendirinya menggambarkan mereka lebih sayang untuk menyelamatkan masa depan pemimpin parti serpihan itu berbanding maruah Umno, sejauh manakah Zahid Hamidi selaku Presiden Umno yang tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan mampu bertahan?

Apakah kerjasama politik melalui PRN Melaka memang dirancang sebagai anjakan atau titik mula untuk memadam ketetapan PAU, mempercepat pemilihan Umno dan seterusnya untuk meranapkan kepimpinan Zahid Hamidi dengan kadar lebih segera?