Kerjasama Umno-PAS dapat restu PAS Pusat, kata Mohd Amar

Menyangkal dakwaan bahawa kerjasama dengan Umno adalah pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara berseorangan, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tampil menegaskan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua parti itu mendapat restu daripada pucuk kepemimpinan PAS Pusat.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Naib Presiden PAS  Datuk  Mohd Amar Nik AbdullahMenyangkal dakwaan bahawa kerjasama dengan Umno adalah pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara berseorangan, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tampil menegaskan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua parti itu mendapat restu daripada pucuk kepemimpinan PAS Pusat.

Beliau berkata, hubungan berkenaan bagaimanapun bukan melibatkan kerjasama politik sebaliknya demi kepentingan Islam dan rakyat sambil mengakui PAS boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak sekalipun.

“Hubungan baik Abdul Hadi dengan Najib juga sudah dibincang pada peringkat PAS Pusat dan lajnah politik (PAS) dan ia bukan keputusan Presiden (Abdul Hadi) seorang, ia adalah keputusan parti.

“Usaha Perdana Menteri menghulur tali silaturahim untuk mengajak PAS sama-sama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam sebenarnya amat baik dan dialu-alukan dan kita setuju serta boleh bekerjasama dalam memartabatkan Islam,” ujarnya dipetik daripada wawancara dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Ditanya tentang penolakan PAS untuk bekerjasama dari segi politik atau bergabung dengan Umno, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, partinya melalui banyak pengalaman pahit yang sukar dilupakan sepanjang tempoh PAS menjadi parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini, perkara untuk kerjasama politik atau bergabung dengan Umno tidak pernah dibincang oleh pucuk kepemimpinan parti, malah tidak mungkin akan terjadi. Perkara itu adalah ‘out of question’.

“Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dulu pun bersikap terbuka dalam mengadakan kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat dalam perkara yang menyentuh kepentingan Islam.

“Jadi, tak ada beza kerjasama yang dijalankan oleh pucuk pimpinan PAS sekarang, yang Tok Guru (Nik Aziz) menentang dahulu kalau kita nak masuk Umno dan bergabung dalam BN. Perkara itu juga tidak ada dalam perancangan dan fikiran pucuk pimpinan sekarang,” ujarnya lagi dipetik dari wawancara hampir semuka penuh itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk  Dr. Asyraf Wajdi DusukiSilaturahim tiada muslihat

Sementara itu, menganggap PAS sebagai parti kerdil memandangkan hanya menguasai 14 kerusi Parlimen berbanding 88 kerusi di pihak Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan kononnya Umno mempunyai muslihat apabila menghulurkan salam silaturahim kepada PAS.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu, partinya berjiwa besar kerana memulakan langkah tersebut sesuai dengan peringatan dalam ayat ke-12, Surah al-Hujurat yang menekankan pentingnya sesama Islam bersaudara dan tidak berprasangka.

“Apabila bercakap soal perpaduan dan kesatuan, jangan fahami dalam konteks mana-mana parti harus meleburkan identiti dan struktur partinya.

“Paling penting dalam perbezaan pendapat dalam Islam ini, bersetuju untuk tidak bersetuju dan hormati ‘adabul ikhtilaf’ (adab dalam berbeza pendapat). Ini bukan perkara baharu. Fahami prinsip ini,” ujarnya dalam temubual satu muka suku di akhbar sama di sebelah wawancara bersama Mohd Amar.

Mengulas berulangnya kembali isu perpaduan Umno-PAS dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 lalu yang menyaksikan pertemuan mesra dan berpakaian sedondon antara kedua-dua presiden parti tersebut, senator itu berkata, Umno dan PAS perlu duduk semeja dan bermuzakarah bagi membincangkan hala tuju umat Islam di negara ini.

“Kalau ikut sejarah pun PAS lahir daripada Umno. Yang berbeza hanya daripada segi pendekatan politik, bukan akidah, mazhab atau pegangan ideologi agama.

“Cuma berbeza pendekatan, PAS lebih agresif mahu negara Islam dijelma secara drastik dan total. Umno pula lebih kepada memahami tabii manusiawi dan realiti masyarakat kita yang bukan semua beragama Islam,” jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi.

TAGS