Kerjasama Umno-Pas: Kalau ya katakan ya, kalau tidak katakan tidak

Kerjasama Umno-Pas perlu dimuktamadkan demi survival politik Melayu.

Bekas ahli jawatankuasa Pas Pusat Dr Rosli Yaakob meminta para pemimpin utama Pas menyatakan pendirian sebenar parti itu berhubung kerjasama dengan Umno kerana kegagalan menjelaskan isu kerjasama ini menyebabkan ahli parti berada dalam kekeliruan.

Mengulas kenyataan veteran Pas Datuk Mustafa Ali berhubung kepentingan parti itu memuktamadkan hubungan dengan Umno, Dr Rosli yang juga bekas pengarah urusan Harakah berkata, tidak sukar untuk memahami pandangan Mustafa kerana dalam konteks politik negara, tiada sebuah parti politik pun yang mampu memerintah negara secara bersendirian.

“Cikgu Pa kata Umno-Pas kalau nak kerjasama buatlah molek- molek… adakan perundingan. Berundinglah molek-molek tentang asas dan bentuk kerjasama dan bidang kerjasama. Yang berlaku sekarang tak molek, tak transparen, mengelirukan ahli-ahli bawahan, mengundang pelbagai persepsi.

“Kalau benarlah hubungan sudah berputik, katakan ia, kalau tidak katakan tidak. Jangan sampai ahli tertanya-tanya, terpinga-pinga,” ujarnya.

 Menurut Dr Rosli, kenyataan Mustafa atau lebih dikenali sebagai Cikgu Pa di kalangan ahli Pas agak mengelirukan kerana beliau menggunakan terma “bekerjasama” dan bukan “bergabung”, juga perkataan Arab, “tahaluf” (yang juga bermaksud kerjasama).

Dr Rosli Yaakob

Beliau menyifatkan terma-terma yang digunakan sebagai ‘memeningkan ahli’ dan tidak menjelaskan apa sebenarnya yang diinginkan pemimpin veteran Pas itu.

“Molek kalau kerjasama itu dimaknakan (dengan) Pas menjadi satu komponen BN seperti mana AMANAH komponen PH (Pakatan Harapan). Bincangkan pembahagian kerusi parlimen dan Dun (Dewan Undangan Negeri) molek-molek. Bertukarlah Malaysia kepada sistem dua parti. Ini molek bagi masa depan negara kita ini,” katanya.

Bekas penolong gabenor Bank Negara itu juga bersetuju dengan pandangan Mustafa bahawa tiada parti politik yang boleh memerintah Malaysia secara solo kerana politik Malaysia adalah “politik perikatan” dan bukan politik sebatang karah.

“Tak bergabung Pas-Umno tak mengapa. Kalau bergabung nanti salah satu akan hilang identiti. Pas kekalkan DNA-nya dan begitu juga Umno. DNA Umno dan Pas tak sama. Satu berideologi agama sedangkan satu lagi menganut sekularisme. Takut-takut nanti kalau bergabung, Pas yang hilang identiti. Pas kena ingat Melayu-Umno masih dominan. Takut juga kalau penggabungan nanti melahiran satu fahaman baru – ‘Islamist-sekularist’,” katanya.

Beliau yakin ahli Pas amnya akan bersifat “dengar kata” dan apa jua keputusan pemimpin akan diterima dengan reda.

“Wahai pemimpin Pas, buatlah keputusan molek-molek, matang dan sejahtera. Pas, ambil pusinglah nasihat ‘orang tua Pas’ ini,” saran beliau.

Mustafa Ali

Mustafa dalam satu sidang media di Kuala Terengganu, 22 Okt lalu mahu kepimpinan Pas berhenti main ‘tarik tali’ dan menilai kembali tawaran kerjasama Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga pengerusi Lembaga Penasihat Pas berkata, perkara berkenaan adalah alternatif terbaik kepada Pas untuk memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang seperti yang diusulkan oleh Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa awal Oktober lalu.

“Bagi saya wajar menyambut (cadangan kerjasama)… dan saya tidak fikir bahawa Annuar akan mengajak Pas untuk menyertai Umno… kalau ajak menyertai Umno, saya sendiri juga tidak akan setuju dan tetap akan lawan.

“Jika kita ingin bercakap tentang kerjasama ini… macam konsep ‘tahaluf’ dan ‘taawun’, saya rasa Umno dan Pas boleh berbincang untuk kepentingan masa depan negara. Tetapi saya tidak nampak sebarang jawapan yang serius dalam pemimpin Pas dan bila tiada respons serius, saya rasa ia sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada pemberita.

Menurut Mustafa, sebelum ini kedua-dua pihak pernah berbincang mengenai kerjasama tersebut tetapi hingga kini masih tiada kata putus mengenainya.

“Perbincangan terdahulu terlampau banyak syarat yang dikenakan antara dua-dua belah parti sehingga hasilnya tiada… apa yang harus kita buat ialah bincang dahulu supaya Pas boleh memahami perspektif Umno dan Umno juga harus faham perspektif Pas,” katanya.

Beliau turut mengulas tentang politik negara ketika ini yang didakwanya dalam keadaan tidak sihat.

“Saya membuat perhatian dan analisis senario di mana semakin hampir dengan pilihan raya umum semakin tidak harmoni politik negara.

“Kini timbul isu memberi gelaran yang tidak elok kepada pemimpin-pemimpin tertentu, contohnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir (Mohamad) memanggil Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai ‘Lanun Bugis’,” katanya.

Beliau berkata dalam berpolitik perlu ada kematangan, kewarasan, bebas dan adil serta perlu cakna atau prihatin terhadap masalah rakyat dan negara.

7.8
OVERALL SCORE
: 3.0
3 user votes x 9.3
CATEGORIES
TAGS