Malaysia Dateline

Kerjasama Umno-Pas kehendak rakyat, kata Jamil Khir

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tarikh 14 September nanti merupakan detik yang ditunggu-tunggu rakyat negeri ini untuk melihat ‘tautan’ Umno dan Pas menjadi kenyataan secara rasmi.

Menurutnya, kerjasama kedua-dua parti pembangkang itu hanya menunggu detik bersejarah menandatangani piagam muafakat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Kerjasama ini adalah kehendak rakyat. Malah ada yang jumpa saya menyatakan, sebelum ‘menutup mata’, saya ingin melihat agar kerjasama Umno dan Pas menjadi kenyataan,” katanya.

Jamil Khir berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perjumpaan Mahabbah Perpaduan Ummah Kedah di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini.

Jelasnya, Umno-Pas Kedah seterusnya akan menterjemahkan kerjasama berkenaan di peringkat negeri melalui penganjuran satu konvensyen bersama pada 28 September yang bakal dihadiri kedua-dua presiden parti.