Kerjasama Umno – PAS : Pendirian PAS Selangor sudah terjawab

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tumpuan Pas Selangor adalah kepada kerajaan yang ada sekarang, bukan kepada kerjasama dengan Umno demikian kata Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau dipetik sebagai berkata, sudah ada kerjasama dengan PKR dan DAP justeru tidak perlu PAS bersama Umno.

“Kita (Pas) dah ada kerjasama dengan PKR dan DAP, buat apa kita nak bersama Umno.Lagipun tumpuan kita di Selangor adalah nak jaga kerajaan yang ada sekarang,” katanya dipetik daripada sebuah portal media online hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai hasrat Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung Umno secara terbuka menghulurkan tali silaturahim kepada Pas untuk sama-sama membangunkan negara mengikut syariat Islam sebenarnya.‎

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program baik pulih rumah asnaf di Desa Impian, Merbau Sempak, Sungai Buloh, bersama pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), semalam.

Khairuddin yang juga Adun Paya Jaras berkata, Pas Selangor harus mengekalkan kerajaan yang ada sekarang dengan PKR dan DAP.

“Disebabkan itu, kita tak nak ada unsur-unsur yang boleh mengganggu prestasi kerajaan negeri, sebab kita nak tumpu pada kepentingan rakyat,” katanya.

Mengulas adakah Pas Selangor khuatir wujud persaingan sokongan pengundi antara mereka, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pada PRU akan datang, beliau menjelaskan, Pas Selangor tidak khuatir dengan Amanah dan DAP memandangkan setiap parti mempunyai market dan pengundi sektor yang berbeza.

“Sebagai contoh, DAP dalam kawasan yang 70 peratus Cina, dia kuat, tetapi dalam 70 peratus pengundi Melayu, DAP dengan Amanah tak boleh masuk.

“Jadi Umno atau Pas masih relevan dalam kawasan yang majoritinya pengundi Melayu,” katanya.

Menurut Khairuddin lagi, jika DAP berhasrat untuk pecahkan undi di kawasan yang dimenangi Pas, dia kena ingat Pas juga boleh pecahkan undi di kawasan yang dimenangi DAP.

Memetik laporan Malaysia Dateline sebelum ini, Naib Pengerusi Ketua Perhubungan Umno Negeri,Mat Nazari Ahmad Dahlan turut mengulas mengenai kerjasama PAS-Umno di Selangor berkata, PAS ditekan DAP yang dilihat parti itu  tidak lagi relevan di dalam kelompok DAP dinegeri itu.

Ini ekoran DAP katanya,cuba memisahkan PAS daripada pentadbiran negeri dengan berhajat untuk menandingi lapan kerusi yang akan ditandingi PAS kelak. Justeru dengan kerjasama Umno-PAS menjadikan parti politik bertunjangkan Melayu dan Islam ini memenangi lebih banyak kerusi di negeri yang dikuasai Pakatan Harapan kelak.

“Dalam mencapai kesepakatan ini sebenarnya bukan sahaja untuk memenangi kerusi pilihan raya sebaliknya untuk membawa agenda Melayu dan Islam ke tahap lebih baik di negara ini,” ujarnya.

TAGS