Malaysia Dateline

Kerjasama Umno-Pas senjata paling ampuh tumbangkan PH, kata Zuhdi

Ketika hubungan Umno dan Pas terus bergolak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mengingatkan manfaat kerjasama kedua-dua parti itu.

Bersandarkan pengalaman semasa PRU-14, Zuhdi berkata, PH telah berjaya mencapai kemenangan ketika berlaku pertandingan tiga penjuru, antara BN, Gagasan dan PH.

Bagaimanapun, dakwanya, kemenangan PH tidak tulen kerana menang melalui strategi pecah dan perintah.

“Pelbagai tipu helah digunakan oleh PH untuk menghalang pakatan pilihan raya antara Pas dan Umno.

“Salah satu strategi yang diambil ialah menakutkan Pas terhadap imej Umno yang dituduh oleh mereka dengan amalan korupsi.

“Oleh sebab itu, sekiranya Pas dilihat mesra Umno, mereka akan turut terpalit dengan imej korupsi. Lebih daripada itu, Pas pun dituduh menerima dana politik daripada Umno,” kata Zuhdi menerusi hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, jelasnya, PH tidak mampu memperolehi mandat rakyat pada PRU 2018 itu tanpa strategi pecah dan perintah terhadap Pas dan Umno.

“Dengan kesedaran kepada kekuatan kerjasama Pas dan Umno ini, kedua-dua parti mara untuk mengambil hak mereka yang digagalkan melalui strategi pecah dan perintah PH.

“Jawapan kepada senjata apa yang paling ampuh untuk menumbangkan PH, ia adalah muafakat antara kedua-dua parti terbesar kaum Melayu-Islam tersebut,” tambah Zuhdi lagi.

Pas dan Umno dilihat ‘bercakaran’ dan saling menyerang sekali gus menyaksikan kegagalan Muafakat Nasional (MN).

Pas sejak Mahiaddin Yasin menjadi Perdana Menteri dilihat lebih mesra dengan Bersatu iaitu musuh Umno.

Malah, baru-baru ini Pas dan Bersatu mengingatkan Umno bahawa sokongan yang diberi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri adalah sokongan bersyarat.

Bagaimanapun, Umno kemudiannya mencabar Bersatu dan Pas supaya menarik sokongan terus, tanpa perlu ugut-mengugut.

Bahkan, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno dilihat yakin mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa bergabung dengan mana-mana pihak.

Dalam masa sama, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin sebelum ini megakui ada pemimpin tertentu dalam Pas yang cuba membakar jambatan penghubung kerjasama antara parti itu dan Umno menerusi MN.

Kata Khairuddin lagi, terdapat beberapa pihak yang kurang selesa dengan kerjasama dibentuk antara kedua-dua parti tersebut sejak awal lagi.