Kerjasama Umno-PAS: “Tunggu Sabtu ini”

Kerjasama Umno-PAS: “Tunggu Sabtu ini”

Hangat ekoran kemesraan Presiden PAS dan Presiden Umno duduk sepentas berpakaian sedondon di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar akhir tahun lalu, keputusan berhubung kerjasama Umno-PAS dijangka akan dimuktamadkan, Sabtu ini.

Hangat ekoran kemesraan Presiden PAS dan Presiden Umno duduk sepentas berpakaian sedondon di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar akhir tahun lalu, keputusan berhubung kerjasama Umno-PAS dijangka akan dimuktamadkan, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi memberitahu demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline petang ini dan menegaskan hal berkenaan tidak harus lagi dibangkitkan.

“Sebelum ini saya dah respon beberapa kali dalam isu yang sama. Rasanya tak perlu diulang. Tunggu kenyataan Presiden PAS Sabtu ini,” ujarnya yang juga anak kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, istiqamah dengan tidak menyertai BN, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya mematuhi keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulamak, 2 Januari lalu.

“Memadai sudah dengan kenyataan MSU (Majlis Syura Ulama). Kami follow yang itu,” ujarnya ringkas ketika dihubungi Malaysia Dateline melalui aplikasi WhatsApp pagi tadi yang turut melampirkan kenyataan media Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh.

Ditanya lanjut mengenai reaksi Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang menyambut baik keputusan Majlis Syura untuk bekerjasama dengan Umno dalam perkara kebaikan termasuk mengukuhkan Islam, beliau bagaimanapun enggan mengulas.

Pakat pilihan raya

Dalam hal berkaitan, Setiausaha BN Kelantan, Datuk Hanafi dilaporkan berkata, kerjasama tidak membawa erti sekiranya tidak berakhir dengan berpakat dalam pilihan raya.

Ujarnya, Umno sejak dulu konsisten tidak tamak untuk berkongsi kuasa sebaliknya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Menyifatkan parti-parti politik tidak perlu membuang masa berpolemik hal kerjasama jika gagal untuk bersama dalam pilihan raya, Hanafi berkata, BN Kelantan tiada masalah dengan keputusan PAS yang tidak akan menyertai BN.

Malaysia Dateline hari ini melaporkan reaksi Fathul Bari yang berkata, kerjasama Umno-PAS tidak semestinya perlu dimulakan melalui kerjasama politik.

Beliau menganggap kerjasama kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu sudah terjalin sekiranya salah satu daripada dasar perjuangan utama Umno yang meletakkan kepentingan bangsa, agama dan raja Melayu dipenuhi.

TAGS