Malaysia Dateline

Kerjasama Umno, PN macam ‘cerai taklik’

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri mengulangi pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung kerjasama partinya dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berjalan sehingga pilihan raya.

Menteri Kanan Keselamatan itu berkata, hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga Parlimen dibubarkan seperti diputuskan MKT.

“Keputusan MKT adalah kerjasama antara kita dengan Bersatu daripada segi parti diputuskan apabila Parlimen dibubarkan dan ini jelas.

“Saya rasa tidak ada siapa yang mempertikaikan dari segi keputusan MKT.

“Maknanya kita ni macam ‘cerai taklik’. Apabila bubar Parlimen jatuh talak kita. Jadi kita sudah menjelaskan daripada awal bahawa hubungan kita terputus secara automatik apabila Parlimen dibubarkan,” jelasnya menerusi Umno Online hari ini.

Ahli Parlimen Bera tersebut juga mengulangi ketetapan yang diputuskan MKT untuk kekal dan fokus menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, perkara itu termasuk berkaitan lambang parti yang mana akan digunakan iaitu lambang Barisan Nasional (BN) selain ‘No PKR, No DAP’.

“Maknanya walaupun kita dengan Muafakat Nasional (MN) atau sebagainya kita akan menggunapakai lambang BN,” ujarnya lagi.