Kertas Pandora: Bagaimana pengguna OFC peroleh kekayaan?

Oleh ARIF ATAN

Bagi orang yang tahu mengenai kewangan dan perniagaan antarabangsa, penyebaran apa yang digelar sebagai Pandora Papers atau Kertas Pandora baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Yang mungkin menjadi persoalan adalah cara orang kenamaan yang terdiri daripada usahawan, ahli politik dan raja-raja memperoleh harta yang disenaraikan itu.

Penggunaan pusat-pusat perlindungan cukai (tax haven) bagi membuka dan menyimpan akaun luar pesisir pantai atau offshore account bukanlah kegiatan baru atau menyalahi undang-undang.

Kegiatan ini telah pun wujud seawal tahun 1960-an apabila kawalan mata wang dan kadar tukaran mula dilonggarkan berikutan keruntuhan Perjanjian Bretton Wood antara tahun 1968 dan 1973.

Sistem mata wang Bretton Woods yang dimeterai antara Amerika Syarikat, Kanada, negara-negara Eropah Barat, Australia dan Jepun pada tahun 1944 bertujuan mewujudkan peraturan berkaitan pengurusan mata wang untuk tujuan kewangan dan perdagangan.

Boleh jadi masih ada orang kita yang tidak tahu bahawa Malaysia pun mempunyai pusat seperti itu di Labuan yang ditubuhkan pada tahun 1996 dan diselenggarakan oleh sebuah badan berkanun bernama Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) atau Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan.

Elok diingatkan semula yang pada waktu itu, Perdana Menteri adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai pusat perdagangan dan kewangan antarabangsa, Labuan memainkan peranan yang serupa dengan syurga cukai yang disebutkan dalam Kertas Pandora seperti Pulau Cayman, British Virgin Islands, Switzerland, Singapura, Hong Kong dan banyak lagi.

Apa yang baru dan luar biasa dengan Kertas Pandora adalah kebocoran skala besar rahsia perbankan yang mengandungi akaun orang perseorangan dan syarikat dari segala pelosok dunia.

Hal ini berlaku kerana maklumat mengenai pelanggan yang sekarang ini disimpan dalam bentuk digital telah dicuri dan diedarkan melalui internet kepada orang ramai.

Inilah antara bahaya menyimpan maklumat sulit dan peribadi dalam rangkaian komputer walaupun macam-macam kaedah dan janji dibuat kononnya ia selamat dan terjamin.

Oleh sebab itulah pelanggan perbankan atas talian, pengguna mata wang kripto dan segala bentuk penyimpanan maklumat rahsia dalam talian wajib sentiasa berhati-hati. Kalau tidak pandai atau kurang yakin, jangan guna atau hadkan penggunaan.

Malaysia adalah antara negara perdagangan terbesar di dunia maka ahli perniagaan dan orang kaya kita mempunyai wang tunai dan harta yang banyak di luar negara.

Dari segi eksport saja, negara kita menduduki tempat ke-28 di dunia dengan nilai AS$237.8 bilion pada tahun 2019 atau bersamaan 65.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Boleh dikatakan semua syarikat dan individu yang terbabit dengan perdagangan antarabangsa dan pemilikan harta di luar negara menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pusat-pusat kewangan luar pesisir (OFC), khususnya untuk tujuan percukaian dan pemegangan harta.

Yang perlu diberi perhatian bukan penggunaan OFC, tetapi bagaimana penggunanya memperoleh kekayaan. Kalau mereka memperoleh kekayaan melalui cara yang sah, ia tidak menjadi persoalan langsung.

Kebanyakan syarikat dan individu, termasuk warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan OFC, memperoleh kekayaan secara sah melalui perniagaan bona fide. Hanya sebahagian kecil saja yang punca kekayaan mereka dicurigai.

Kalau kerajaan berasa Kertas Pandora itu berwibawa, ia boleh memilih untuk melakukan siasatan atau sesiapa saja yang ada kepentingan boleh membuat aduan polis.

Kesimpulannya, mana-mana negara pun tidak mahu warganegaranya, sama ada syarikat atau individu, menggunakan OFC sebaliknya menyimpan di dalam negara perlulah menyediakan sistem kewangan, perbankan dan percukaian yang lebih baik atau setaraf dengan yang ditawarkan oleh OFC.

Wallahuaklam.

*DATUK A KADIR JASIN merupakan Tokoh Wartawan Negara.