Malaysia Dateline

Kertas Pandora: Pemuda PH anggap orang politik, taikun korporat menconteng arang

Pemuda Pakatan Harapan (PH) menegaskan pendedahan Kertas Pandora melibatkan isu pengaliran wang ke luar pesisir mencemarkan integriti negara.

Ketua Pemuda PH, Howard Lee Chuan How berkata, dakwaan bahawa sejumlah RM900 bilion wang negara dibawa keluar secara tidak telus oleh tokoh-tokoh penting negara tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa.

Tegasnya, implikasi aliran wang ke luar pesisir itu cukup serius dan wajib diambil peduli bagi mengelakkan harta negara terus dimanipulasi demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, individu-individu yang disenaraikan dalam Kertas Pandora terdiri daripada tokoh-tokoh politik dan taikun-taikun korporat dan mereka ini menconteng arang serta mencemarkan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, Howard mendesak agar Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara segera membahaskan pendedahan International Consortium of Investigative Journalism (ICIJ) tersebut.

Howard Lee bersama Pemuda PH Sabah dalam sidang media hari ini.

Beliau juga mahu individu yang disenaraikan dalam Kertas Pandora harus menyerah diri kepada pihak berkuasa bagi membolehkan nama mereka dibersihkan jika mereka tidak terbabit dengan aktiviti haram yang melanggar undang-undang dan mencemarkan kedaulatan negara.

“Pendedahan ICIJ yang dinamakan Pandora Papers ini adalah bukti dan petunjuk yang membolehkan institusi kehakiman Malaysia menyiasat dalang-dalang yang terlibat dengan aliran wang dan harta secara haram ke luar negara,” katanya.

Howard yang juga Ketua Pemuda DAP itu berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama Pemuda PH Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Laporan polis tersebut sebagai satu gesaan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan amanah, tanggungjawab dan membersihkan semula nama Malaysia daripada salah laku aliran wang haram.

Sehubungan itu, Pemuda PH mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut ditubuhkan bagi menyiasat impak dan implikasi terhadap rakyat berikutan isu pengaliran wang ke luar pesisir.

Sebelum ini, tiga kali permintaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya isu berkaitan Kertas Pandora Papers dibahaskan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Antara yang turut bersama Howard ialah Ketua Pemuda Sosialis DAP Sabah, Phoong Jin Zhe; Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang; Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Rendy Ismail dan Pengerusi MUDA Sabah, Shahrizal Denci.

Soalan mengenai Kertas Pandora yang dikemukakan Pengerusi PH itu akhirnya dijadualkan akan dijawab lisan oleh Perdana Menteri dalam sidang Belanjawan 2022 akan datang yang akan bermula pada 25 Oktober ini.

Kertas Pandora sebelum ini mendedahkan sebanyak 118 firma luar pesisir daripada 1,000 syarikat adalah berkaitan warganegara Malaysia.

Antara individu yang dikaitkan menerusi pendedahan itu ialah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.

Susulan itu, Ahmad Zahid dalam reaksinya menyatakan kesediaan untuk disiasat selepas didakwa memiliki akaun luar pesisir di British Virgin Island (BVI).

Sementara itu, ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin menganggap urusniaga yang didedahkan oleh laporan Kertas Pandora adalah tidak tepat kerana penglibatan beliau tidak merangkumi kesemua akaunnya.

Zafrul pula dalam satu kenyataan pada 4 Oktober lalu, mengesahkan beliau telah melepaskan kesemua jawatan dalam Kumpulan Kenanga Holdings Berhad pada Jun 2010.