Malaysia Dateline

Kertas Pandora, Timah dan British

Rasanya sejak pengumuman Aukus, iaitu pakatan pertahanan tiga negara, paling mengejutkan dengan kehadiran British dalam pakatan tersebut, seolah-olah negara bekas penjajah ini ingin bertapak semula di Asia Tenggara.

Nama British atau Inggeris ini tidak hilang begitu saja, ia muncul melalui wajah Kepten Speedy pada sebuah jenama Wisky tempatan. Timah, nama bagi wiski Malaysia telah memenangi anugerah wiksi terbaik dan telah dilancarkan secara rasminya Khamis lepas. Ia telah memenangi pingat perak di the International Spirits Challenge 2020 (ISC) dan di Annual San Francisco World Spirits Competition 2020 (SFWSC).

Nama Timah dikaitkan dengan industri Bijih Timah di Perak dan wajah Kepten Tristram Charles Sawyer Speedy atau Kepten Speedy di botol wiski tersebut dikatakan orang yang bertanggungjawab membawa budaya meminuM wiski ke wilayah jajahan British di Tanah Melayu. Jika sesiapa masih ingat, Kepten Speedy terlibat dalam Perang Larut dan aktif dalam kegiatan penjajahan British di Perak.

Ini bukan tujuan untuk promosi tetapi bayangkan di sebuah negara yang lebih 70% penduduknya beragama Islam tiba-tiba muncul jenama wiski buatan Malaysia yang memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.

Ia merupakan cabaran kepada Parti Islam Pas yang menjadi kerajaan Keluarga Malaysia. Semasa di pihak pembangkang Pas begitu tegas mahu mengharamkan arak tetapi setelah menjadi kerajaan apakah rancangan mereka dalam mengharamkannya. Rakyat akan menilai prestasi Pas sebagai sebuah parti Islam.

Nama bekas sang penjajah ini muncul lagi dengan kemunculan kertas Pandora yang menjadi isu hangat sekarang kerana mendedahkan nama-nama tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia yang membuat simpanan kekayaan di kepulauan Amerika Tengah di bawah payung Britain.

Britain, negara bekas penjajah menjadikan Pulau Virgin sebagai wilayah perlindungan penyimpanan sulit harta golongan kaya. Pulau ini adalah wilayah jajahan British yang berperanan sebagai rantau bebas cukai.

Tidak usah hendak dikisahkan mengenai kekayaan golongan aristokrat kerana banyak telah didedahkan tetapi bagaimanakah kedudukan Britain yang amat berpengaruh dalam sistem kapitalis sejagat dapat mengumpulkan hampir kesemua golongan hartawan dan multi-bilionaire ini di bawah genggaman mereka?

Kepulauan Virgin ini telah ditawan England daripada Belanda pada 1672. Kisah sedih bagaimana orang aslinya telah disembelih dan dilenyapkan dalam sejarah genosid tidak diceritakan. Pulau tersebut pernah terkenal sebagai kawasan perlindungan para lanun pada suatu waktu dahulu.

Kepulauan Virgin hanyalah satu daripada rangkaian persisir pantai British. Terdapat 18 lagi rangkaian seumpamanya di mana Westminister memainkan peranannya. Ini termasuklah tempat-tempat yang popular dan terburuk dunia dengan kegiatan penggubahan wang haram, pengelak cukai dan kisah sulit simpanan kewangan golongan berada. Kepuauan Cayman Islands juga adalah milik British, begitu juga dengan Gibraltar, Anguilla dan Bermuda.

Di bawah Akta Wilayah Luar Negara British 2002, penduduknya adalah warga negara Britain. Tempat-tempat beroperasi di bawah penyeliaan dan perlindungan perkhidmatan diplomatik British. Kepulauan ini berada di bawah perlindunganTentera Di-Raja British.

Dalam jangka masa 40 tahun, Britain telah dua kali ke medan perang mempertahankan kawasan jajahan takluknya, pertama mempertahankan kepulauan Falklands daripada serangan Argentina dan kedua apabila program nuklear Iraq semasa Saddam Hussein menjadi Presiden mengancam wilayah British di Akrotiri dan Dhekelia di pulau Cyprus.

Maka wilayah-wilayah di bawah Britain ini menjadi syurga bagi penyangak, penjenayah, pengelak cukai, pengubah wang haram dan pelbagai kegiatan wang haram secara dalam talian.

Walaupun kita tidak tahu dengan pastinya jumlah harta dan wang yang disimpan di sana hinggakan Institut Transnasional di Belanda menyifatkannya sebagai “tulang belakang kapitalisme sejagat.

Oleh itu wujud kelas atasan atau dikatakan super rich yang terdiri daripada oligarki, multi-bilionaire dan penjenayah-penjenayah antarabangsa yang menyorok harta kekayaan mereka di wilayah-wilayah naungan British ini kerana ia dapat melindungi mereka daripada dikesan oleh pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa.

Golongan super rich ini nampaknya bersekongkol dengan Britain dalam mengukuhkan kapitalisme sejagat dan bolehkah kita percaya dengan segala kata-kata mereka mengenai agama, bangsa dan negara?

Britain masih terus mengukuhkan dirinya sebagai sebuah empayar dunia dalam kapitalisme digital. Ketiga-tiga isu yang berturutan sejak Aukus, kertas Pandora dan wiski Timah ada kaitan dengan bekas penjajah British. Seolah-olah ia ingn mengingatkan kita akan kehadiran British ke Asia Tenggara dalam masa terdekat.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).