Malaysia Dateline

Kertas Putih Felda akan dibentang tahun depan, kata Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan kertas putih Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan dibentangkan pada sidang pertama Parlimen tahun depan.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara menasihatkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi agar mempertimbangkan semula cadangan pembentangan kertas putih itu, yang sepatutnya dibentangkan hari ini.

“Jabatan Peguam Negara berpendapat beberapa isu perundangan perlu diselesaikan sebelum kertas putih tersebut boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Demi memastikan keutuhan Kertas Putih Felda, jemaah menteri bersetuju agar pembentangan kertas putih ini ditangguhkan ke sidang Parlimen mesyuarat pertama, penggal ke-2, Parlimen ke-14,” katanya.

 Kertas putih dijangka memberikan gambaran yang jelas dan mendalam tentang “kemelut” yang menyelubungi Felda, bagi membantu kementerian dan pengurusan baharu lembaga itu merangka pelan pemulihan dan hala tuju yang lestari dan mampan.

Kertas putih itu menyusuli dakwaan masalah aliran tunai dan pengurusan kewangan yang lemah dalam lembaga itu.

Azmin berkata pihaknya bertungkus lumus menyediakan kertas putih yang komprehensif dan berkredibiliti dan “ianya di peringkat terakhir penyertaan bagi pembentangan di Parlimen”.