Malaysia Dateline

Kertas Putih Pertahanan akan dibentang di Dewan Rakyat Disember depan

Kertas Putih Pertahanan kini berada diperingkat akhir penyediaan dan dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember depan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau menjelaskan rangka dokumen pertahanan itu adalah rancangan 10 tahun bagi kementerian itu.

“Ini adalah kertas putih pertahanan yang pertama di negara ini. Kita juga merujuk kepada beberapa buah negara seperti Brunei, New Zealand, Australia, Jerman dan beberapa negara lain lagi.

“Kita juga merujuk kepada profesor universiti dan dikalangan yang terlibat dengan pertahanan. Apabila siap akan dibentang kepada kabinet dan dibawa ke dewan rakyat hujung tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Media yang diadakan di salah sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Mohamad juga mengumumkan mengenai Majlis Makan Malam bagi Kempen Tabung Pahlawan yang akan diadakan pada 21 Oktober ini.

Majlis ini dijangka akan dihadiri isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang akan memetik violin pada majlis amal itu.

Kempen Tabung Pahlawan ini telahpun dirasmikan oleh Dr Siti Hasmah pada 19 November lepas.

“Usaha yang akan digiatkan ialah Kempen Tabung Pahlawan untuk galakkan bukan sahaja dikalangan syarikat yang terlibat secara langsung dengan kementerian pertahanan, dengan syarikat perniagaan lain yang juga menikmati keamanan hasil pengorbanan anggota tentera boleh membantu mempromosi tabung pahlawan ini,” ujarnya.

Sebelum itu satu taklimat tertutup diantara Kementerian Pertahanan dan Editor Kanan media tempatan telah diadakan di sebelah paginya bagi menerangkan matlamat Kertas Putih Pertahanan dan Kempen Tabung Pahlawan sebelum satu sesi soal jawab dengan Menteri Pertahanan dan pihak media diadakan.