Malaysia Dateline

Kertas siasatan isu tidak hormati lagu kebangsaan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya

Polis telah menyerahkan kertas sisasatan mengenai lapan individu yang tidak menghormati lagu Negaraku kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak , Datuk Dev Kumar berkata kertas siasatan itu telah pun diserahkan semalam dengan cadangan untuk menuduh mereka.

“Timbalan Pendakwa Raya kini sedang mengkaji keterangan yang telah diambil polis dan akan memberi keputusan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dev Kumar berkata, orang ramai perlu mematuhi undang-undang yang sedia ada dan mempamerkan sikap menghormati lagu Kebangsaan ketika dimainkan.

“Seksyen 8 (1) Akta Lagu Kebangsaan 1968 memperuntukkan bahawa apabila Lagu Kebangsaan dimainkan, semua orang yang hadir hendaklah berdiri sedia sebagai tanda hormat,” katanya

Katanya, kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan di bawah seksyen 8 (3) Akta yang sama.

Isnin lalu lapan individu yang terlibat termasuk seorang wanita yang berusia antara 34 hingga 64 tahun telah diambil keterangan oleh polis.

Menurut laporan portal tempatan, mereka adalah ahli Kumpulan Sarawak for Sarawakians (S4S), enggan berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang dalam satu majlis makan malam. Video berdurasi 22 saat tentang perbuatan mereka itu tular di media sosial.

–BERNAMA