Malaysia Dateline

Kertas siasatan Khairuddin diserah kepada Peguam Negara

Kertas siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali telah selesai susulan tindakan Menteri berkenaan yang gagal menjalani kuarantin wajib sejurus pulang dari luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata seramai 10 saksi sudah diambil keterangan dengan keterangan terakhir diambil semalam (8 September).

Kertas siasatan itu juga akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara esok.

“Saksi terakhir telah pun dirakam percakapannya. Mungkin kertas siasatan diserahkan kepada AGC (Pejabat Peguam Negara) esok.

“AGC akan meneliti bukti dan kenyataan dalam fail siasatan untuk (memutuskan) keputusan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah merakam keterangan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bagi membantu siasatan berhubung kegagalannya mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Mohd Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh kementerian berkenaan sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu.