Malaysia Dateline

Kertas siasatan Tanah Felda Jalan Semarak diserah pada AG hari ini

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

Kertas siasatan berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau dalam kenyataannya dipetik berkata beberapa saksi telah pun dipanggil dan dirakam keterangan.

“Kertas siasatan telah disiapkan dan akan dihantar kepada Jabatan Peguam pada hari ini untuk tindakan seterusnya.

“Sebelum ini kita terpaksa tangguhkan untuk menghantar kertas siasatan walaupun saya maklumkan ia akan diserahkan pada minggu lalu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ulung Ketua Polis Negara Bersama Semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri dan Daerah serta Pelancaran Handbook Penyiasatan Jenayah, di Sogo, hari ini.

Kontroversi membabitkan tanah Felda tercetus selepas BH mendedahkan, Felda berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembangunan Kuala Lupur Vertical City (KLVC) menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Difahamkan, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah Felda tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif.

Bagaimanapun pada 15 Januari lalu Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad melalui sidang media khasnya memaklumkan Felda memperoleh kembali tanahnya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak tanpa kos daripada pemaju KLVC, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Bagaimanapun, siasatan polis dan audit forensik yang sedang berjalan akan diteruskan manakala projek KLVC diteruskan pemaju dengan mengehadkan ‘power of attorney’ atau kuasa wakil penuh terhadap pembangunan dan status tanah terbabit.